PETALING JAYA: Kemelut kedudukan kerusi tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mempengaruhi senario politik negara tanpa mengira sama ada kerusi mereka diisytihar kosong mahupun kekal kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, antara situasi yang boleh berlaku adalah Perikatan Nasional (PN) terus dilihat lemah sekiranya tiada kekosongan melibatkan tujuh wakil rakyatnya walaupun keahlian mereka terhenti kerana tidak mematuhi arahan kepemimpinan Bersatu.
Menurut beliau, situasi itu juga secara tidak langsung bakal menarik lebih ramai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang untuk menyokong Perdana Menteri setelah melihat tindakan berkenaan tidak menjejaskan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat.
“Senario kedua adalah jika berlaku kekosongan kerusi. Situasi itu boleh menarik segelintir ahli-ahli Parlimen kerajaan termasuk daripada UMNO untuk menyokong PN. Namun saya melihat situasi ini agar mustahil berlaku, kerana adalah lebih baik mereka berada dalam kerajaan berbanding duduk sebagai pembangkang.
“Bagaimanapun setiap wakil rakyat akan memikirkan terlebih dahulu terhadap sebarang implikasi dan kesannya jika mereka berbuat demikian. Namun mereka perlu mengutamakan kepentingan rakyat berbanding diri sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan terhenti serta-merta.
Ahli Parlimen yang terlibat ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) serta seorang ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari.
Setakat ini, Bersatu belum menghantar notis kekosongan itu ekoran keahlian tujuh wakil rakyat terlibat terhenti serta-merta daripada keanggotaan parti.
Parti itu dikatakan mengambil kira Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan dan Fasal 10.4 Perlembagaan parti bahawa seseorang ahli Dewan Rakyat terhenti apabila terhenti menjadi anggota parti kerana bertentangan dengan arahan kepimpinan parti.
Dalam pada itu, Mujibu berkata, beliau tidak menolak persaingan sengit antara Barisan Nasional (BN) dan PN sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) selepas tujuh kerusi itu diisytiharkan kosong di bawah undang-undang anti lompat parti.
Katanya, enam daripada tujuh kerusi terletak di kawasan majoriti pengundi Melayu sekali gus menyaksikan pertembungan buku dengan ruas khususnya antara UMNO dan Bersatu sendiri.
“Semua kerusi ini pernah disandang UMNO sebelum ini, sudah tentu mereka mahu meletakkan calonnya. Begitu juga Bersatu ingin mempertahankan kemenangan, namun Pas pula mahu mereka diberikan ruang untuk meletakkan calon bagi menawan kerusi itu semula,” katanya.
Beliau berkata, PRK Sungai Bakap bakal menjadi penanda aras kepada kemampuan antara BN dan PN sebelum melihat potensi mereka dalam tujuh PRK sekiranya diadakan kelak.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu melihat terlebih dahulu terhadap implikasi dan kesan sebelum menentukan sama kekosongan kerusi berlaku atau tidak di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, semua pihak tidak boleh mengkhianati mandat pengundi yang memilih wakil rakyat terlibat sekali gus menunjukkan anasir kepartian tidak boleh mengatasi sistem demokrasi.
“Hormatilah mandat rakyat yang telah memilih wakil rakyat. Adakah wajar amalan demokrasi untuk memberi ruang memilih pemimpin dicemari dengan sikap ini? Sikap kepartian tidak boleh mengatasi amalan demokrasi di negara ini,” katanya. – UTUSAN










