JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat pendarahan dalaman.
Utusan Malaysia difahamkan, bekas Ketua UMNO Johor itu sedang menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Menurut sumber parti, beliau dimaklumkan keadaan terkini Sharifah Azizah itu oleh sayap Wanita UMNO Johor pagi tadi.
“Keadaan Datuk Sharifah Azizah kini dilaporkan kritikal disebabkan pendarahan dalaman yang dialami.
“Saya bersama ahli Wanita UMNO Batu Pahat akan berkunjung ke Hospital Kluang dalam masa terdekat untuk melihat perkembangan terkininya,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Kluang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.
Beliau sebelum ini merupakan ADUN Penawar bagi tempoh 2018 hingga 2022.
Dalam pada itu, seorang lagi sumber memaklumkan pemimpin yang mesra dengan panggilan ‘Kak Fah’ tersebut pernah dimasukkan ke hospital, Mac lalu bagi merawat masalah kesihatannya.
“Saya doakan beliau segera sembuh,” katanya. – UTUSAN










