BATU GAJAH: Seramai 400 peserta menyertai kayuhan ‘Fun Ride Railway To See Malaysia’ sejauh 45 kilometer bermula di Silverlakes Village Outlet di sini sempena Tahun Melawat Perak 2024, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, program untuk mempromosikan produk-produk pelancongan khususnya di sekitar daerah Batu Gajah.
“Antara destinasi-destinasi pelancongan di sini ialah Kellie’s Castle, Tanjung Tualang Tin Dredge, Silverlakes Village Outlet, Pekan Papan, Escape Ipoh, dan banyak lagi,” katanya.
Menurut Sze Yee, secara tidak langsung, program itu akan memberikan limpahan ekonomi kepada pengusaha makanan, pengusaha hotel dan pengusaha pengangkutan sekaligus dapat meningkatkan capaian kempen Tahun Melawat Perak 2024 ke pasaran domestik.
“Program seumpama ini diharap dapat mencapai hasrat dan objektif seiring dengan sasaran kerajaan negeri untuk menarik lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa ke negeri Perak sempena Tahun Melawat Perak 2024,” katanya.
Sementara itu, Ketua Teknikal KTMB, Ahmad Nizam Mohd Amin berkata, KTMB menyediakan perkhidmatan sewaan koc khas untuk basikal iaitu Ekspress Koc Basikal (XKB) sejak tahun 2021.
“Bagi perjalanan sempena program ini, KTMB membawa lima koc dan satu koc boleh memuatkan 60 unit basikal.
“Harga bagi lima koc ini bermula dari RM20,000 untuk perjalanan dua hala,” katanya.
Sementara itu, peserta kayuhan dari Kuala Lumpur, Wan Mohamad Amin Wan Salim, 34, berkata, kayuhan yang bermula dari Silverlakes Village Outlet ke Kapal Korek Tanjung Tualang (TT5) melalui Kellie’s Castle, The Treasure atau Taman Herba Gopeng membantu mempromosikan sektor pelancongan di daerah ini. – UTUSAN











