KUALA LUMPUR : Kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) hidup selesa di unit apartment di Brickfields di sini dengan membayar sewa RM2,000 sebulan terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur malam tadi.
Menerusi serbuan kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu, sebanyak 122 individu pelbagai latar belakang warga negara telah diperiksa.
Difahamkan enam blok bangunan 19 tingkat itu telah dihuni warga asing yang rata-rata bekerja di kawasan berhampiran sebagai tukang jahit, pekerja kedai makan serta tukang cuci.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi hasil risikan selama dua minggu itu berjaya menahan 40 PATI terdiri daripada 24 lelaki, 15 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.
Menurut beliau, pecahan tangkapan membabitkan 25 warga India, Sri Lanka (10), Pakistan dan Myanmar masing-masing dua orang serta seorang lagi ialah Bangladesh.
“PATI yang ditahan berusia 3 hingga 61 tahun melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Antaranya tidak memiliki pas atau permit untuk tinggal di Malaysia, pas tamat tempoh serta tinggal lebih masa.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini.











