Zulkafperi tetap sokong Anwar - Utusan Malaysia

Zulkafperi tetap sokong Anwar

ZULKAFPERI HANAFI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi kekal menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun dilucutkan keahlian daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, keputusan yang diambil beliau adalah jelas untuk menyokong kerajaan sedia ada dan tidak sesekali membuat pusingan U untuk menarik balik sokongan tersebut.

“Bagi saya tidak ada jalan pusing balik ke belakang kerana keputusan (menyokong Anwar) muktamad.

“Banyak bantuan dan sumbangan telah saya sampaikan kepada rakyat (setelah menyokong Anwar) sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Karang di sini hari ini.

Zulkafperi berkata, sebelum ini, beberapa surat pertanyaan telah dihantar beliau kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung keabsahan pelucutan keahlian beliau daripada Bersatu.

“Ada beberapa isu timbul berhubung surat pemecatan dan saya memberi pertanyaan antaranya bilakah mesyuarat (pemecatan) itu diadakan dan siapakah yang hadir dalam mesyuarat tersebut serta minit mesyuarat.

“Saya juga mempersoalkan tempoh tamat MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) Bersatu adakah ia telah tamat pada 2023 atau dilanjutkan serta bolehkah MPT bermesyuarat dan mengeluarkan arahan kepada saya sepanjang tempoh tersebut,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, status dua ahli dalam MPT Bersatu juga turut dipersoal kerana dianggap tidak sah kerana keahlian mereka tidak mengikut perlembagaan Bersatu.

Tambahnya lagi, Bersatu tidak lagi dikekalkan sebagai khusus untuk orang-orang Melayu dan pribumi malahan pindaan tersebut tidak dimaklumkan dan mengikut AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) serta persetujuan daripada ahli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN