PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menziarah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur hari ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook beliau, keadaan Wan Rosdy selepas menjalani prosedur pembedahan bertambah baik hari ini.
“Alhamdulillah keadaan beliau bertambah baik selepas menjalani prosedur pembedahan dan kini dalam pemantauan pakar perubatan di IJN,” katanya.
Sebelum ini, Wan Rosdy dilaporkan menerima rawatan di IJN.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob dalam kenyataan berkata, Wan Rosdy dijadualkan menerima rawatan sehingga tarikh yang akan ditentukan doktor.
Sementara itu, Anwar memaklumkan beliau turut meluangkan masa menziarah bapa saudara Sultan Pahang iaitu Tengku Datuk Muhammad Sultan Abu Bakar dan bekas pelajarnya di Yayasan Anda, Basuki Yusof.
“Mendoakan mereka dikurniakan afiyah dan kesembuhan sesegera mungkin, Insya-Allah,” katanya.- UTUSAN










