ROMPIN: Guru Penolong Kanan 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka, Hasnatul Adilah Hassan, 48, sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.
Mangsa tercampak keluar dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan treler berhampiran simpang tiga Bahau, Jalan Kuantan-Segamat di sini semalam.
Seorang lagi mangsa yang juga penumpang bas persiaran berkenaan, Asmaniza Mohamad, 50, berkata, dia bersama seorang lagi guru sekolah terbabit merupakan antara individu terawal yang menemukan mangsa.
Katanya, ketika ditemukan, mangsa masih sedar dan sempat bertanya di mana anak bongsunya, Muhammad Farouq Saifullizan, 12, yang turut serta dalam lawatan penanda aras SK Jeram ke SK Kompleks Seberang Takir, Terengganu.
Katanya, ketika menghampiri Hasnatul, beliau berada dalam keadaan tertiarap berhampiran sebatang pokok tercampak keluar dari bas.
TERCAMPAK
“Arwah tanya di mana anak arwah, saya beritahu anaknya dalam bas tetapi rupa-rupanya anak dia di atas jalan, turut tercampak keluar.
“Kemudian seorang lagi cikgu yang bersama arwah sempat mengajar arwah mengucap sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir,” katanya.
Asmaniza berkata, sebelum kejadian dia sedang tidur dan secara tiba-tiba merasakan bas berpusing.
“Saya tidak perasan berapa kali bas berpusing tetapi bas terbalik ke sebelah kanan saya dan saya kemudian dihimpit oleh penumpang lain.
“Saya berasa sesak nafas dan saya berjaya melonjakkan badan untuk melepaskan diri sebelum mencari laluan keluar.
“Kemudian saya jumpa laluan keluar melalui pintu bumbung bahagian tengah bas.
“Ketika keluar, saya dengar jeritan minta tolong dan ketika itu saya nampak Ustazah Adilah (mangsa) dan saya terus memanggil seorang lagi cikgu untuk melihat keadaan ustazah,” katanya. – UTUSAN









