KOTA KINABALU: Kemesraan yang ditunjukkan terhadap Ketua Menteri Sabah sekadar untuk memastikan kerajaan perpaduan diberi dukungan sepenuhnya di peringkat nasional.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Datuk Seri Hajiji Noor merupakan rakan lama yang dikenali sejak zaman Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
“Konsep saya adalah musuh seseorang itu adalah musuh dia tapi kawan seseorang itu adalah kawan saya. Saya punya pegangan begitu…walaupun kita tidur bantal lain-lain tapi, mimpi kita sama.
“Apa yang saya maksudkan supaya kerajaan perpaduan itu diberi dukungan sepenuhnya di peringkat nasional tapi, kalau berlaku permasalahan di peringkat negeri, kita mencari formula lain.
“Saya punya prinsip, kita mahu berkawan dengan semua pihak,” katanya dalam sidang akhbar sempena perasmian mesyuarat UMNO Bahagian Sepanggar hari ini selain menegaskan tiada perpecahan berlaku di dalam UMNO Sabah.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan UMNO Sabah agar tidak menganggap Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 adalah penghujung jalan sebaliknya, UMNO boleh menjadi dominan semula sekiranya amanat disampaikan Bung Moktar dapat diterjemahkan.
“Bila keputusan mahu dibuat oleh kepimpinan UMNO Sabah dan UMNO Malaysia untuk melakukan kerjasama dengan pihak mana, gabungan mana, saya bagitahu bahawa apabila tiba masanya kita pasti akan buat keputusan untuk menentukan ke arah mana kita tuju,” katanya.










