PETALING JAYA: China menawarkan 5,000 biasiswa percuma kepada rakyat Malaysia dalam industri Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara yang dizahirkan Premier Republik China, Li Qiang dalam Mesyuarat Dua-Hala hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, salah satu cabang kerjasama yang giat dijalankan adalah dengan mengadakan pelbagai perkongsian pintar untuk mengambil sebanyak manfaat daripada kemajuan teknologi China yang sedang berkembang pesat.
Katanya, ia seperti mana yang ditekankan dalam lawatan beliau ke China, baru-baru ini.
“Li Qiang turut menzahirkan rasa gembira beliau terhadap prestasi universiti TVET di Malaysia dan telah menawarkan 5,000 biasiswa percuma kepada rakyat Malaysia dalam industri TVET.
“Ini merupakan satu peluang keemasan yang akan memberikan manfaat besar kepada sektor pendidikan dan latihan teknikal negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menyifatkan, manfaat itu adalah sebahagian daripada kejayaan yang lahir dari hubungan diplomatik yang akrab di antara kedua-dua negara yang telah menjangkau ke tahun yang ke-50.
“Banyak lagi yang dibincangkan secara bersama termasuklah tentang pembasmian kemiskinan, sektor pendidikan dan keselamatan, juga menambahbaik usahasama dalam bidang teknologi dan pertanian.
“Saya optimis, melihat daripada sesi perbincangan hari ini, hubungan Malaysia-China akan terus berkembang dan akhirnya memberikan impak yang besar untuk seluruh rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
“Semoga usaha ini diberkati dan berjaya mencapai kejayaan yang diimpikan. Insya-Allah,” katanya.










