PETALING JAYA: Mengikut Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan, kerusi tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sudah kosong.
Undang-undang tertinggi negara itu menjelaskan, kekosongan kerusi seseorang ahli Dewan Rakyat berlaku sekiranya dia melepaskan keanggotaan parti atau tidak lagi menjadi anggota parti politik atau memenangi pilihan raya sebagai calon Bebas, kemudian menyertai parti lain.
Dalam kes ketujuh-tujuh wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedudukan mereka ditafsirkan sebagai gugur berikutan pemberhentian serta-merta keahlian daripada parti.
Malah, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika pergulungan pembentangan undang-undang antilompat parti pada tahun 2022 menjelaskan, ahli Parlimen dianggap bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusi jika bertindak bertentangan dengan prinsip parti dan menyebabkan keahlian digugurkan berdasarkan Perlembagaan parti.
Selain itu, ia merujuk satu kes menarik perhatian di United Kingdom iaitu Inspector of Taxes vs Hart pada 1992 apabila mahkamah agung di negara itu menetapkan badan kehakiman boleh merujuk kepada kenyataan dalam Dewan Rakyat dalam usaha untuk mentafsir isu perundangan jika berhadapan kekeliruan berhubung persoalan undang-undang.
MENJELASKAN
Pakar Perlembagaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan seseorang ahli Dewan Rakyat terhenti menjadi ahli dan kerusinya menjadi kosong apabila melepaskan keanggotaan parti politik itu atau tidak lagi menjadi anggota parti.
Justeru, kata bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu, beliau berpandangan kekosongan kerusi sebenarnya sudah berlaku termasuk melibatkan wakil rakyat Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri sebelum ini.
“Frasa ‘tidak lagi menjadi anggota parti’ dalam Perkara 49 (A) adalah jelas dan muktamad dalam menerangkan kekosongan kerusi telah berlaku melibatkan ahli-ahli Parlimen tersebut. Ini terjumlah kepada pemberhentian keahlian parti seseorang wakil rakyat itu.
“Jika ini berlaku, langkah seterusnya setelah Yang Dipertua Dewan Rakyat menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Dewan Rakyat mengenai berlakunya kekosongan luar jangka di bawah perkara ini, beliau hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari tarikh menerima notis bertulis itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan terhenti serta-merta.
Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari.
TERIKAT
Mengulas lanjut, Rais berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat terikat dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada beliau sama ada untuk membuat pengisytiharan kekosongan kerusi Parlimen telah berlaku atau sebaliknya.
Katanya, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut boleh mencabarnya di mahkamah.
“Dalam soal ini, seandainya Speaker memutuskan tiada kekosongan maka mana-mana ahli Parlimen Bersatu boleh mengemukakan persoalan undang-undang berbangkit di mahkamah kelak. Ini bagi menjelaskan sama ada Perkara 49 (A) telah dipatuhi atau tidak,” katanya.
Rais berkata, Bersatu wajar menghantar notis segera kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat sekiranya mereka mahu kerusi itu dikosongkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya.
Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata, dalam soal ini, kata putus adalah daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana Perlembagaan Persekutuan menyebut beliau yang memutuskan mereka melompat parti atau tidak.
“Jika ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka boleh membawa ke mahkamah untuk melihat tafsiran undang-undang lompat parti. Memandangkan ia pertama kali berlaku dalam sejarah negara, jadi pelbagai persoalan undang-undang sejak Perkara 49 (a) diluluskan Parlimen,” katanya.
DIBERHENTIKAN
Bagaimanapun, pakar Perlembagaan ISTAC Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, berhenti atau diberhentikan keahlian seseorang wakil rakyat daripada parti merupakan dua perkara berbeza untuk menafsirkan kekosongan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Perkara 49.
Katanya, undang-undang parti tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan dalam menentukan kedudukan seseorang wakil rakyat termasuk mereka yang tidak mengikut arahan parti atau sebaliknya.
Beliau berkata, pemberhentian keahlian parti seseorang wakil rakyat tidak membawa bahawa dia terhenti sebagai ahli Dewan Rakyat.
“Dalam soal ini, adakah ia berbentuk hukuman sehingga menyebabkan kekosongan kerusi berlaku? Sebenarnya ia tidak berlaku jika ia melibatkan menyokong kepimpinan negara dan dasar dibawanya demi kepentingan negara.
“Melainkan jika dia tunjukkan sokongan kerana individu dan parti tertentu yang boleh membawa maksud dia tidak lagi menjadi anggota parti politik,” katanya. – UTUSAN










