JOHOR BAHRU: Tiga rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan, iaitu memiliki senjata api dan pisau kira-kira dua minggu lalu.
Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh, Soh Wee Hong, 29, Hoo Kim Wei, 26, dan wanita warganegara Thailand, Laor Mikarat, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pertama di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama didakwa memiliki sepucuk revolver di sebuah rumah di Jalan Alimat, Wadi Hana, di sini pada pukul 3.45 petang, 14 Jun lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berlainan, ketiga-tiganya sekali lagi didakwa secara bersama-sama memiliki sebilah pisau keluli tahan karat sepanjang 25 sentimeter yang tertera tulisan Cina di lokasi dan waktu yang sama.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Wee Hong dan Kim Wei mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut selepas dibacakan di hadapan Hakim, Rasidah Roslee, namun pengakuan daripada Laor Mikarat ditangguhkan sementara menunggu penterjemah bahasa Thai.
Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin kerana pertuduhan pertama, iaitu kesalahan bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 tidak membenarkan mereka dijamin.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi dan Nur Diyana Zubir, manakala Wee Hong dan Kim Wei memohon khidmat peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), manakala Laor Mikarat diperintahkan untuk mendapatkan khidmat peguam bela.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










