NIBONG TEBAL: Semua sekolah perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan berhubung pengendalian Program Dwibahasa (DLP) bagi subjek Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Melayu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, tidak ada sekolah kerajaan mahupun sekolah berasrama penuh yang terkecuali daripada peraturan itu ketika ini.
Katanya, pelaksanaan DLP mesti mematuhi dasar ‘Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris’ (MBMMBI) serta berusaha mencapai matlamat negara tanpa mengabaikan hak pelajar untuk belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia atau bahasa ibunda mereka di sekolah vernakular.
“Semua dah minta kita pertegaskan. Jadi, (sekolah) kena pakai dan rujuk garis panduan, (yang ditetapkan). Malah, tidak ada sebarang masalah timbul setakat ini.
“Justeru, mana-mana sekolah yang ada masalah dengan pelaksanaan garis panduan itu, kita akan turun dan bantu sekolah tersebut untuk melaksanakannya.
“Garis panduan ini terpakai untuk semua sekolah, jadi sekolah kerajaan, berasrama penuh juga kena rujuk dan melaksanakannya,” kata beliau kepada pemberita di sini, semalam.
Fadhlina berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung komen Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim yang menyatakan bahawa sekolah elit seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Kolej Tunku Kurshiah dikecualikan daripada peraturan baharu DLP itu.
DLP yang diluluskan pada 2015 dalam mata pelajaran Sains dan Matematik mempunyai tiga kriteria dipersetujui secara bertulis daripada ibu bapa, selain sekolah mempunyai sumber mencukupi iaitu kesanggupan guru besar serta guru melaksanakannya
Selain itu, setiap sekolah digalakkan membuka sekurang-kurangnya satu kelas DLP di setiap peringkat antara kriteria DLP boleh dilaksanakan.
Terdahulu, Fadhlina menghadiri majlis peluncuran Sekolah Pengajar Program Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap di sini.
Antara intipati program terbabit adalah dengan menubuhkan Pasukan Khas Reformasi Pendidikan dengan memperkenalkan Sahabat Bahasa untuk membudayakan dan menyemarakkan pelaksanaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris secara komprehensif.
“Inisiatif ini dilaksanakan di bahagian KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan terdiri sekolah IPG, Kolej Matrikulasi dan Kolej Vokasional,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina memberitahu, cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa masuk sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura ke negara ini tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan.
Katanya, apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri itu ialah, sukarelawan guru dari Singapura yang akan ditempatkan di kawasan miskin bandar, desa dan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Lantikan ini tidak melibatkan sebarang bebanan kos tambahan seperti telahan sesetengah pihak. Sebaliknya, ia adalah bukti kerjasama erat diplomatik antara Malaysia dan Singapura.
“Untuk pengetahuan, khidmat guru sukarelawan ini akan dibayar oleh kerajaan Singapura,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada murid, guru dan pihak sekolah untuk mendapat pendedahan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta inovasi yang baik.
“Inisiatif sebegini sememangnya sentiasa dilaksanakan KPM (Kementerian Pendidikan) dengan melibatkan pertukaran guru dari negara maju seperti Korea, Australia dan Amerika Syarikat,” katanya.
Pada 12 Jun lalu, media melaporkan bahawa Malaysia telah berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu akan menghantar guru-guru untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat dalam negara ini.










