BEIRUT: Hamas menegaskan sehingga kini tiada perkembangan positif yang dicapai dalam rundingan gencatan senjata dengan Israel berhubung perang terhadap Gaza, tatkala puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di Tel Aviv menuntut pembebasan tebusan dan menyelesaikan perjanjian.
Pegawai kanan Hamas yang berpangkalan di Lubnan, Osama Hamdan berkata, pihaknya masih terbuka untuk membincangkan sebarang cadangan gencatan senjata yang menamatkan konflik hampir sembilan bulan.
“Sekali lagi, Hamas bersedia untuk menangani secara positif sebarang cadangan yang menjamin gencatan senjata kekal, pengunduran menyeluruh operasi ketenteraan dari Gaza dan perjanjian pertukaran tebusan serta tahanan,” katanya pada sidang akhbar di Beirut, pada Sabtu.
Usaha perantara Arab, yang disokong Amerika Syarikat (AS), setakat ini gagal untuk memuktamadkan gencatan senjata dengan kedua-dua saling pihak menuding jari mengenai kebuntuan itu.
Hamas menegaskan, sebarang perjanjian mesti menamatkan perang untuk kebaikan dan membawa pengunduran sepenuhnya Israel dari Gaza.
Sementara, Israel pula berkata, ia hanya akan menerima jeda sementara dalam pertempuran sehingga Hamas, yang memerintah Gaza sejak 2007, ‘dihapuskan’.
Dalam kenyataan itu, Hamdan turut menyalahkan AS kerana memberi tekanan kepada Hamas untuk menerima syarat Israel.
Penganjur protes antikerajaan di Tel Aviv menganggarkan 130,000 penunjuk perasaan berkumpul di pusat bandar pada malam Sabtu, menuntut gencatan senjata segera untuk membawa pulang tebusan.
Terdahulu, agensi berita The Associated Press memetik pegawai kanan pentadbiran Presiden Joe Biden sebagai berkata, AS menyampaikan rancangan baharu kepada perantara Mesir dan Qatar untuk memulakan kembali rundingan Israel-Hamas yang terhenti.
Katanya, ia memberi tumpuan kepada rundingan yang dimulakan antara Israel dan Hamas semasa fasa pertama perjanjian yang ditetapkan oleh Biden hampir sebulan lalu.
Fasa pertama memerlukan ‘gencatan senjata penuh dan lengkap’, pengunduran tentera Israel dari semua kawasan padat penduduk di Gaza dan pembebasan beberapa tebusan – termasuk wanita, orang tua dan yang cedera – sebagai pertukaran untuk ratusan tahanan Palestin.
Cadangan itu meminta kedua-dua pihak merundingkan syarat fasa kedua dalam tempoh 42 hari daripada fasa satu.
Di bawah cadangan semasa, Hamas boleh membebaskan semua lelaki yang tinggal, orang awam dan tentera, manakala sebagai pertukaran, Israel boleh membebaskan sejumlah tahanan Palestin yang dipersetujui.- AL JAZEERA










