Tiada kemudahan jalan raya sempurna punca Taman Halal Pasir Mas gagal dimanfaat

Tiada kemudahan jalan raya sempurna punca Taman Halal Pasir Mas gagal dimanfaat

TAMAN Industri Halal Pasir Mas, Kelantan-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengakui ketiadaan rangkaian jalan raya sempurna menyebabkan pelabur tidak berminat melabur di Taman Industri Halal Pasir Mas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman berkata, situasi itu menyebabkan lokasi tersebut tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau menjangkakan hanya selepas Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mula beroperasi pada 2027, pembangunan kawasan itu dapat dipacu sepenuhnya, dengan kargo-kargo boleh dibawa terus ke Pelabuhan Klang dan lokasi-lokasi lain.

“Kita juga tidak mempunyai kemudahan lebuh raya sempurna di kawasan itu. Sepatutnya dari sempadan Thailand sehingga Kota Bharu perlu ada lebuh raya sekurang-kurangnya bertaraf piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Md. Anizam memberitahu, Taman Halal Pasir Mas berada di lokasi cukup strategik, iaitu 10 kilometer (km) dari sempadan Thailand dan lebih kurang 30 km dari Kota Bharu.

Katanya, sehingga kini hanya 30 peratus syarikat melabur di situ di kawasan seluas kira-kira 40.47 hektar, dilengkapi gudang dan kemudahan untuk pembinaan kilang produk halal.

Md. Anizam berkata, kerajaan negeri tetap menyahut seruan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu lebih banyak syarikat melabur di 14 Halal Park di seluruh negara.

“Seruan itu juga selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan sebagai tanda aras industri halal sama ada dalam sektor pemakanan, farmaseutikal dan lain-lain.

“Pada masa akan datang kita akan lebih agresif mempromosikan Taman Halal Pasir Mas termasuk melalui jalinan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Kita akan menguar-uarkan kemudahan Halal Park Pasir Mas serta mempromosikan polisi mesra pelabur dan pakej disediakan melalui program Invest Kelantan selain akan berusaha menambah kawasan industri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN