KUALA LUMPUR : Seorang pekerja kilang terpaksa membuat pembiayaan semula (refinance) rumah bagi menjelaskan hutang pelaburan mesin air bernilai RM60,000 selepas terpedaya dengan sebuah syarikat yang bekerjasama dengan yayasan terkenal.
Pekerja kilang yang ingin dikenali Parani, 47, berkata, dia melabur dengan membuat pinjaman bank untuk membeli dua mesin air itu kerana ingin menambah pendapatan.
Menurutnya, dia dijanjikan pulangan RM1,500 setiap bulan jika melabur dalam skim itu namun hanya sempat merasa sekali sahaja keuntungan terbabit.
“Apabila ditanya pihak terbabit memberi alasan Covid-19 dan beritahu mesin air itu masih wujud dan ada di sekolah.
“Namun sehingga kini saya tidak mendapat balik pulangan modal malah terpaksa menanggung hutang dengan bank menyebabkan terpaksa membuat refinance rumah bagi menjelaskan hutang itu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi mangsa wanita berusia 58 tahun berkata, dia hanya sempat merasa RM500 sahaja selepas melabur RM60,000 dengan mengeluarkan wang simpanan pekerja (KWSP).
“Saya ada hubungi mereka beberapa kali namun menerima jawapan yang mengecewakan dan hanya merasa sekali sahaja hasil pelaburan itu iaitu RM500,” ujarnya.











