Terjun jambatan: Kerajaan Kelantan perlu tekan butang panik

Terjun jambatan: Kerajaan Kelantan perlu tekan butang panik

DR. Hafidzah Mustakim (duduk, tiga dari kanan) bersama para peserta Program Kesedaran Kesihatan Mental: Sakit mental vs gangguan jin anjuran Jabatan Psikiatri USM bersama Persikol di KPTM MARA, Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan perlu menekan butang panik dalam menangani gejala gangguan kesihatan mental rakyat  negeri ini terutama melibatkan kejadian terjun jambatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama Dr. Hafidzah Mustakim berkata, sehingga kini sebanyak 18 telah direkodkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dalam tempoh empat tahun bermula tahun 202 lalu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut 17 orang telah meninggal dunia.

“Ini merupakna loceng amaran kepada semua pihak. Saya gesa kerajaan negeri panggil semua pemegang taruh melibatkan agensi kerajaan serta pihak berkepentingan dan membentuk sebuah jawatankuasa bagi menangani masalah berkenaan.

“Saya harap  exco kerajaan negeri dan turut melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Kesedaran Kesihatan Mental: Sakit mental vs gangguan jin anjuran Jabatan Psikiatri Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Persatuan Perubatan Psikologi (Persikol) di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu di Lembah Sireh, di sini hari ini.

Dr. Hafidzah memberitahu, pada masa sama pembentukan jawatankuasa dilihat mampu membuka mata semua pihak terhadap pelbagai faktor penyebab berlaku gejala gangguan kesihatan mental sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menangani masalah tersebut.

Katanya, beliau tidak menafikan penting bagi umat Islam melaksanakan solat hajat dalam usaha menangani gejala itu tetapi dalam masa yang sama perlu juga diberikan perhatian terhadap langkah-langkah lain terutamanya untuk mempertingkatkan tahap kesedaran masyarakat.

“Kita tahu KKM sudah menyediakan lapan langkah menangani gejala gangguan kesihatan mental termasuk melalui penglibatan pelbagai agensi. Alangkah bagus sekiranya ia turut diimplementasi di negeri ini.

“Saya turut mencadangkan agar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) turut dilibatkan kerana mereka mempunyai peranan penting yang boleh dimainkan dalam usaha ini,” katanya.

Dr. Hafidzah turut mencadangkan langkah pemasangan mesej kasih sayang serta mempamarkan nombor-nombor yang boleh dihubungi sekiranya rakyat memerlukan bantuan di Jambatan Sultan Yahya Petra dan lain-lain jambatan di negeri ini.

“Kerajaan negeri juga boleh berbincang dengan agensi-agensi bagi memikirkan langkah-langkah lain seperti pemasangan jaring dan sebagainya di jambatan-jambatan terlibat,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×