Temasya Budaya@Perak mengangkat seni, memupuk nilai murni

Temasya Budaya@Perak mengangkat seni, memupuk nilai murni

ABD. Rashid Abdullah menunjukkan poster Temasya Budaya@Negeri Perak yang akan diadakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan selama empat hari bermula hari ini. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pelbagai acara dan persembahan seni serta budaya yang menarik menanti pengunjung dan pelancong Temasya Budaya@Negeri Pe­rak di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pe­rak, Abd. Rashid Abdullah berkata, program selama empat hari itu bertujuan mempromosikan aktiviti kebudayaan tempatan sebagai antara produk pelanco­ngan negeri, selain menyemarakkan kesenian, kebudayaan dan tradisi masyarakat tempatan kepada masyarakat luar.

Menurutnya, JKKN menyasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung sepanjang program tersebut berlangsung.

Katanya, menerusi program itu, diharapkan seni dan budaya tempatan kekal relevan dalam kalangan masyarakat kerana melalui seni, ia dapat memupuk perpaduan kaum dan nilai-nilai murni.

“Temasya Budaya@Perak ini diharapkan dapat mengangkat seni, kepelbagaian budaya wa­risan dan pelancongan yang terdapat di negeri Perak. Kepelbagaiannya meliputi budaya etnik, amalan tradisi yang cende­rung untuk kesatuan budaya.

“Acara yang diatur bukan sekadar hiburan tetapi juga sarat dengan elemen memupuk nilai murni. Kita mahu dengan pengisian dalam program ini, akhirnya masyarakat melihat seni tetap relevan hingga hari ini.

“Kami berharap masyarakat setempat mengambil peluang untuk datang ke program ini, ia bukan sekadar hiburan kerana banyak pengisian acara yang turut melibatkan khalayak se­perti sukan rakyat dan masakan warisan daerah. Inilah masa­nya untuk masyarakat melihat satu persembahan yang sangat berkualiti di tempat mereka,” katanya.

Sementara itu, pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias akan mengadakan ceramah kerohanian bertajuk ‘Hijrah Minda, Hijrah Budaya’ pada hari pertama program pada malam ini.

Majlis perasmian Temasya Budaya@Negeri Perak akan di­sempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming pada Sabtu.

Artis terkenal tanah air, Da­yang Nurfaizah akan membuat persembahan pada malam pe­rasmian tersebut.

Dalam pada itu, program hari pertama Temasya Budaya@Negeri Perak melibatkan pertan­dingan silat, persembahan seni mempertahankan diri wushu dan silambam, seterusnya ce­ramah kerohanian oleh Ustaz Kazim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×