Teknik sembelihan perlu betul

Teknik sembelihan perlu betul

ZAINUDDIN Sarponing menunjukkan tiga bilah parang yang akan digunakan bagi menyembelih lembu pada Hari Raya Aidiladha di rumahnya di Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Bagi memastikan lembu yang disembelih tidak meronta-ronta, teknik sembelihan yang betul amat penting dan menjadi rahsia Zainuddin Sarponing, 57, sejak 20 tahun lalu.

Sebagai tukang sembelih, Zainuddin sentiasa memastikan parang yang digunakan kekal ke bawah leher haiwan tersebut dan tidak melangkah darah seperti ajaran gurunya, dikenali sebagai Wak Ramadan.

“Ketajaman parang juga berperanan penting bagi memastikan sembelihan tidak menyakitkan haiwan tersebut dan hanya sekali sahaja dilakukan tanpa mengulanginya. Kita melaksanakan tanggungjawab diberikan oleh orang ramai, perlu dilakukan berhati-hati dan menghormati haiwan tersebut dengan penuh tertib,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi, dekat sini.

Zainuddin, seorang pekebun kelapa sawit menambah, selain teknik sembelihan yang betul, ada beberapa petua lain bermula dengan bacaan Bismillah serta beberapa doa.

“Semua haiwan sama ada lembu, kambing, kerbau dan sebagainya merupakan makhluk Allah yang perlu dilayan dengan baik pada akhir hidupnya tanpa ada unsur-unsur yang menyakitkan.

“Jika tidak memahaminya, akan berlaku kes-kes lembu yang telah disembelih mampu berlari dan kematian yang tidak sempurna, tentunya tidak elok kepada orang yang melakukan korban,” katanya yang mempunyai tiga bilah parang khas, dua untuk menyembelih lembu dan sebilah lagi untuk kambing.

Zainuddin memberitahu, dua minggu sebelum melakukan penyembelihan, dia akan memeriksa parang-parang yang ada dan kerja-kerja mengasah mula dilakukan bagi memastikannya benar-benar tajam.

“Perkara yang sama diulangi semula, tiga hari sebelum Aidiladha bagi memastikan parang-parang tersebut berada dalam keadaan baik,” katanya, memberitahu pernah menyembelih kerbau, kambing dan unta untuk ibadah korban.

Setakat ini dia pernah menyembelih sebanyak 25 ekor lembu dalam sehari sempena Program Ibadah Korban Perdana ADUN Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad sebelum ini.

Pada tahun ini, dia telah diberi tugas untuk menyembelih 10 ekor lembu dianjurkan oleh pentadbiran Masjid Jamek Kampung Parit Puteri Menanggis. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN