Tambah jawatan bantu pensyarah

Tambah jawatan bantu pensyarah

PENGURUSAN universiti perlu mewujudkan jawatan penolong pensyarah bagi membantu pengajaran seperti mengendalikan tutorial dan amali. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengurusan universiti perlu merangka strategi untuk memastikan bebanan kerja pensyarah dapat dikurangkan melalui lantikan pelbagai jawatan yang boleh membantu tugas mereka.

Bebanan kerja di luar tugas mengajar mengakibatkan berlaku ketidakseimbangan jumlah jam mengajar dalam kalangan pensyarah di universiti negara ini.

Purata mengajar di universiti ketika ini adalah kira-kira 18 jam seminggu yang menjadi dilema dihadapi para pensyarah, ditambah pula dengan tanggungjawab penting lain yang perlu dilaksanakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Profesor Dr. Ahmad Ismail berkata, pendekatan baharu sistem pendidikan di universiti serta teknologi terkini menambah beban kerja pensyarah dalam pengajaran.

Ekoran itu, katanya, lebih masa diperlukan dalam persediaan kuliah dan penilaian kerja kursus mahasiswa.

“Dalam hal ini, pihak universiti perlu mewujudkan jawatan penolong pensyarah bagi membantu pengajaran seperti mengendalikan tutorial dan amali.

“Ini termasuk melantik pascadoktoral bagi membantu penyelidikan dan sebahagian pengajaran,” katanya di sini.

Sebelum ini Menteri Pendidikan Tinggi memaklumkan akan meneliti keperluan keseimbangan jumlah jam mengajar pensyarah di universiti negara ini.

Pada masa sama, Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mahu kegiatan pensyarah dalam menulis dan membuat kajian dapat dilakukan sebaik­nya.

Ahmad menambah, sekiranya mengajar 18 jam se­minggu, ini bermakna pensyarah akan mengambil masa selama 54 jam untuk kuliah berkenaan berbanding waktu bekerja seminggu berjumlah 45 jam.

“Ini bererti masa bekerja pensyarah biasa lebih sembilan jam se­minggu.

“Perancangan dan perse­diaan teliti mesti dilakukan bagi setiap kuliah supaya memenuhi kehendak POLOKI (hasil program, hasil pembelajaran dan kemahiran insaniah).

“Pensyarah juga terpaksa melakukan kerja penyeliaan pelajar siswazah dan pascasiswazah (ijazah sarjana dan doktor falsafah), penyelidikan, pengembangan dan kerja pentadbiran,” katanya.

Beliau menjelaskan, untuk menghasilkan kerja berkualiti dan menghasilkan graduan yang berfungsi dan berpengetahuan dalam bidang diceburi, beban kerja pensyarah mesti dikaji segera.

Ditambah pula katanya, dengan mengejar matlamat tahunan pencapaian individu dan universiti serta memenuhi kriteria kenaikan pangkat, pensyarah semakin tertekan.

“Pensyarah perlu banyak masa berfikir dan meneroka ilmu baharu melalui penyelidikan, perbincangan, menghadiri seminar dan menghidupkan suasana akademik dalam universiti.

“Budaya akademik akan menghasilkan sumber manusia yang holistik dan berda­ya saing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×