LIPIS: Kerajaan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan semua tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara akan menjadi pra tahfiz menjelang 2030.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sudah mengusulkan cadangan berkenaan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi memperkasa pendidikan al-Quran dalam kalangan kanak-kanak.
“Saya mempersembahkan kepada tuanku (Al-Sultan Abdullah) pada 2030 iaitu kira-kira enam tahun dari sekarang, Insya-Allah tabika Kemas di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak kita akan pastikan 100 peratus tabika ini akan menjadi pra tahfiz. Mudah-mudahan ini akan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
“Bagi murid bukan Islam, kita ada kaedah lain untuk pengajaran keagamaan kepada anak-anak.
“Namun dalam perkara yang begini saya fikir bahawa anak-anak orang Islam khususnya di kawasan desa dan luar bandar yang sangat memerlukan pengajaran ini kita akan teruskan,” katanya ketika berucap pada Program Sembang Santai Bersama-sama Komuniti Daerah Lipis di Dewan Residen Lipis di sini hari ini.
Ahmad Zahid menjelaskan, KKDW dan Kemas juga akan mencari jalan supaya Pendidikan Islam khususnya untuk anak-anak pra sekolah dapat diajar dengan kaedah yang benar iaitu menerusi kerjasama Yayasan Pahang dan Yayasan
Pendidikan Tun Abdul Razak (PINTAR).
Ujarnya, kerajaan juga menjalin kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mengajar guru yang tiada latar belakang pendidikan agama untuk mengajar al-Quran dan agama Islam.
“Ertinya kita melakukan usaha serampang dua mata iaitu untuk mengajar yang mana pengajar mesti tahu ilmu pendidikan kerana hal ini berkaitan tentang bagaimana input ilmu itu diberikan.
“Oleh sebab itu guru-guru Kemas ini kita lakukan latihan iaitu menerusi kerjasama antara Yayasan Pahang, Yayasan Pintar, UPSI dan melalui modul Kemas,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan turut mencari jalan supaya tidak berlaku penyelewengan daripada segi pedagogi pendidikan termasuk kaedah pengajaran agama Islam dan al-Quran.
“Sumber hukum berkenaan iaitu pertama pengajaran mesti yang ada dalam al-Quran, kedua hadis, ketiga qias dan keempat ijmak ulamak. Kalau keluar daripada empat sumber hukum ini berertinya berlakunya muktazilah, khawarij yang di luar landasan keislaman,” ujarnya. – UTUSAN










