BUKIT GANTANG: Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal menegaskan beliau masih Ahli Parlimen Bukit Gantang walaupun dipecat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mendakwa kini merupakan Ahli Dewan Rakyat Bebas
Ini selepas beliau mengesahkan menerima satu notis rasmi semalam yang memaklumkan namanya sudah dikeluarkan daripada sistem keahlian parti dan mendakwa tindakan itu bermakna parti mengambil tindakan untuk memecatnya.
Jelasnya, namun beliau mendakwa masih Ahli Parlimen kerana tidak melanggar syarat-syarat pengosongan kerusi Dewan Rakyat di bawah perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan kerusi Ahli Dewan Rakyat akan menjadi kosong jika ‘dia’ melepaskan keanggotaan parti politik atau ‘dia’ tidak lagi menjadi anggota parti politik atau setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota suatu parti politik, ‘dia’ menyertai satu parti politik sebagai anggota.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan secara khusus merujuk ketiga-tiga syarat pengosongan kerusi Dewan Rakyat menggunakan perkataan ‘dia’, yang merujuk
khusus kepada ‘tindakan atau pengumuman seseorang Ahli Dewan Rakyat,’ bukan tindakan atau pengumuman oleh pihak ketiga.
“Ini bermakna hanya Ahli Dewan Rakyat itu sahaja yang berhak membuat pengisytiharan beliau sama ada ‘melepaskan keanggotan parti politik atau mengisytiharkan sudah ‘tidak lagi menjadi anggota parti politik terlibat.
“Atau sekiranya seorang Ahli Dewan Rakyat yang menang secara Bebas, beliau sendiri yang mengisytiharkan menyertai satu parti politik sebagai anggota parti politik itu.
“Adalah jelas saya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengisytiharkan kerusi saya perlu dikosongkan.
“Dalam situasi saya, saya dengan jelas dan konsisten sentiasa menyatakan saya adalah ahli Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Perlembagaan Persekutuan di dalam Perkara 49A(2) menyatakan terdapat tiga bentuk tindakan dari pihak ketiga yang tidak langsung menjejaskan kedudukan seorang Ahli Dewan Rakyat.
Jelasnya, tindakan pihak ketiga itu adalah :pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya, pelepasan keanggotaan daripada parti politiknya apabila dipilih sebagai Yang di-Pertua dan pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknnya.
“Pindaan Perlembagaan Bersatu sengaja dibuat untuk memecat keahlian saya mempunyai unsur berniat jahat (mala fide) serta tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Pindaan perlembagaan Bersatu tidak memberi sebarang kesan kepada kedudukan saya sebagai Ahli Dewan Rakyat,” katanya.










