BENTONG: Suspek yang melarikan kereta jenis Honda City di Semambu, Kuantan dekat sini semalam berjaya ditahan polis ketika tertidur kira-kira dua jam di sebuah rumah yang dicerobohnya di Kampung China Manis di sini.
Suspek yang berusia 40 tahun meninggalkan kereta Honda City di pekan Karak sebelum menumpang orang awam ke Kampung Chinta Manis di sini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, hasil maklumat orang awam tentang kes pencerobohan kediaman tersebut, serbuan dilakukan pada pukul 12.45 malam ketika suspek sedang tidur di ruang tamu rumah.
“Berdasarkan keterangan pemiliknya, pada pukul 10 malam suspek datang ke kediamannya dan terus masuk ke dalam rumah.
“Suspek kemudian mengurung penghuni rumah dalam sebuah bilik dan suspek tertidur di ruang tamu sebelum pemilik rumah menghubungi polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang wanita berdepan detik cemas apabila dibawa lari sejauh 400 meter sebelum ditolak keluar oleh penjenayah yang mencuri kereta jenis Honda City milik anaknya dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Semambu di sini.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, susulan penahanan suspek, polis menemukan kenderaan Honda City dicuri yang sudah ditukarkan nombor pendaftaran palsu.
Katanya, kenderaan berkenaan tidak mengalami kerosakan dengan hanya kesan calar di beberapa bahagian selepas tampalan poster dipercayai dikikis oleh suspek bagi mengelak ia dikesan.
“Pihak polis turut merampas sejumlah barangan termasuk sebilah pisau, sebilah pisau lipat, dua bilah gunting, tiga telefon bimbit dan beberapa barangan lain,” katanya.
Menurutnya, suspek direman selama dua hari bermula semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal suspek yang berasal dari Karak dan tinggal di Kuantan mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan jenayah dan suspek juga habis menjalani hukuman penjara pada tahun lalu atas kesalahan narkotik.
Ujarnya, siasatan giat dilakukan termasuk motif suspek mencuri kereta dan ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. – UTUSAN










