SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dikenakan tindakan bertanggungjawab.
Malah, tindakan yang dikenakan kedua-dua badan bola sepak itu turut disifatkan tiada ihsan, tidak berperkemanusiaan serta mempamerkan kezaliman yang berlaku terhadap pemain Selangor dan kebangsaan, Faisal Halim yang sebelum ini cedera parah akibat disimbah asid dalam satu kejadian pada 5 Mei lalu.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda sudah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana para pemain pasukan itu masih dalam keadaan trauma dan ketakutan akibat insiden yang berlaku.
“Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan.
“Beta berpandangan hukuman yang dikenakan iaitu denda RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.
“Beta sudah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak 1968 ketika FAS diterajui Datuk Seri Harun Idris.
“Sepanjang tempoh itu, belum pernah beta saksikan keadaan seperti sekarang ini. Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum kini dicemari dengan keganasan,” titahnya, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Selangor FC berdepan beberapa hukuman daripada MFL susulan tindakan menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih yang sepatutnya berlangsung 10 Mei lalu di Stadium Sultan Ibrahim.
Antara denda yang dikenakan badan pengelola liga itu adalah, Selangor diminta membayar denda sebanyak RM100,000 dan duit berkenaan akan disalurkan kepada badan kebajikan.
Selain itu, kelab berkenaan juga perlu membayar pampasan ganti rugi kepada MFL dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terpaksa ditanggung oleh kedua-dua pihak tersebut.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin dalam titah sama turut menzahirkan rasa murka terhadap MFL serta FAM khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
“Beta terkejut dan kecewa kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada beta.
“Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap para pemain.
“Beta juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini. Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemarkan kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan hala tuju pasukan Selangor FC.
“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS. Namun jika beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu,” ujarnya.
Justeru, Sultan Sharafuddin mengingatkan bola sepak adalah sukan yang digemari dan menyatupadukan rakyat Malaysia berteraskan semangat kesukanan yang tinggi.
Titahnya, tindakan melampau MFL itu langsung tidak melambangkan semangat perpaduan, sebaliknya hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan berkenaan.
“Beta ingatkan kepada MFL, buatlah keputusan dengan berhati-hati,” tegasnya.










