KOTA BHARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan tujuh ekor lembu untuk ibadah korban pada Majlis Ibadat Qurban Jama’ie Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, baginda berkenan mencemar duli untuk menyembelih dua ekor daripada lembu tersebut.
Terdahulu, baginda tiba kira-kira pukul 10.40 pagi dan meluangkan masa selama 40 minit bersama-sama hampir 400 petugas.
Selain itu Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid turut berkenan mengurniakan lembu untuk ibadah korban.
Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr. Hasnan Ramli berkata, pada tahun ini sebanyak 53 ekor lembu disembelih untuk majlis berkenaan.
Katanya, kesemua hasil korban itu akan diagihkan kepada 2,000 ketua isi rumah (KIR) yang terdiri daripada asnaf dan golongan fakir miskin.
Ujarnya, setiap asnaf menerima sebanyak dua kilogram (kg) daging termasuk tulang yang akan disampaikan menerusi masjid negeri, bandar dan jajahan terpilih.
“Korban ini merupakan program tahunan MAIK sebagai perkongsian dengan golongan tersebut,” ujarnya.-UTUSAN










