SINGAPURA: Penduduk Sentosa Cove mengalami kesukaran bernafas, selain batuk dan pening akibat tumpahan minyak di Terminal Pasir Panjang yang mencermarkan pantai-pantai Singapura.
Keadaan itu juga menyebabkan sebilangan penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka buat sementara waktu.
Pantai pulau peranginan Sentosa antara tempat yang terjejas kejadian tumpahan minyak, selepas sebuah kapal melanggar tangki di Terminal Pasir Panjang pada Jumaat lalu.
Sebahagian Taman East Coast dan beberapa tempat di Kawasan Alam Semula Jadi Simpanan Labrador, ditutup sehingga notis lanjut dikeluarkan untuk kerja-kerja pembersihan.
Syarikat-syarikat kapal pesiar dengan bot berlabuh di Sentosa Cove menyatakan semua kapal mereka tidak dapat meninggalkan pangkalan sejak pagi Sabtu selepas laluan masuknya dihadang.
Seorang kakitangan YachtCruiseSG berkata, syarikatnya membatalkan empat tempahan pada Sabtu, dengan kerugian mencecah S$800 (RM2,780) bagi setiap tempahan dan kira-kira S$3,200 (RM11,100) sehari.
Walaupun pantai Sentosa di Palawan, Siloso dan Tanjong kekal dibuka kepada orang ramai, aktiviti berenang dan laut tidak dibenarkan buat masa ini.
Sentosa Development Corporation berkata, selain kerja-kerja pembersihan pantai, pihaknya turut memberi tumpuan untuk meminimumkan kesan ke atas perairan dan hidupan liar di sekitarnya.
Kumpulan pemuliharaan tempatan, Marine Stewards memberitahu CNA bahawa hidupan liar laut yang terjejas kebanyakannya berada di sekitar Kepulauan Selatan, walaupun masih terlalu awal untuk menilai tahap kerosakan penuh.
Menurut pengasas Marine Stewards, Sue Ye, kumpulan itu menyedari terdapat seekor burung raja laut yang diselamatkan dari Marina di Teluk Keppel.
“Kami juga melihat gambar ikan mati dan memerang diseliputi minyak,” katanya sambil memberitahu kumpulan itu dalam usaha membantu menyelamat dan memulih hidupan liar laut yang terjejas.










