JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas lima pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS), bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Feesol Haron, 35, dan isteri, Suhaini Sarwan, 46, serta Mohd. Firdaus Kamal Intdzam, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Feesol dan Suhaini didakwa memiliki bahan-bahan berkaitan IS dan perbuatan pengganas di dalam telefon bimbit mereka.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kempas, di sini pukul 1.10 petang dan 1.15 petang, 30 Mei lalu.
Mohd. Firdaus pula didakwa melakukan kesalahan sama di hadapan sebuah kilang di Jalan Perniagaan Setia 6, Taman Perniagaan Setia, di sini pukul 6.15 petang, 30 Mei lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut.
Sementara itu, Suhaini turut berdepan dua lagi pertuduhan, iaitu memberi sokongan kepada IS menggunakan dua akaun media sosial Facebook atas nama Suhaini Sarwan dan Enma Kenma.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian E8, Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Kuala Lumpur pada pukul 5.50 petang, 27 Mei lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan dalam melakukan kesalahan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazzi Ahmad Salim, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah menetapkan 30 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam bela. – UTUSAN










