MEKAH: Selepas tujuh tahun diwujudkan, Program Kebersihan Masyair diteruskan bagi mengekalkan standard dan tanda aras yang diberikan Kerajaan Arab Saudi terhadap jemaah Malaysia sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, program tersebut secara tidak langsung memberi kefahaman dan penghayatan ibadah lebih luas untuk jemaah haji musim 1445H/2024M.
Katanya, ia juga dapat dijadikan sebagai cerminan kemamburan haji jemaah yang bukan bersandarkan kepada rukun semata-mata.
“Jemaah haji Malaysia memang terkenal dengan berdisiplin dan berilmu. Pada tahun 2018 lagi kita perkenalkan program ini untuk mengajak jemaah haji Malaysia melaksanakan satu daripada tanggungjawab sebagai umat Islam.
“Ia diwujudkan agar jemaah memperluaskan pemahaman konsep ibadah yang bukan hanya terhad kepada solat, puasa dan zakat sebaliknya ia termasuk dalam menjaga hubungan dengan jemaah lain dan menjaga persekitaran,” katanya dalam majlis perasmian Program Kebersihan Masyair semalam.
Dalam majlis itu juga, Mohd Na’im bersama pengurusan tertinggi Tabung Haji turut meluangkan masa menyantuni lima waris jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci baru-baru ini.
Beliau sempat memberikan kata-kata semangat kepada semua waris berkenaan dan memberi jaminan bahawa Tabung Haji akan melaksanakan badal haji untuk kesemua jemaah yang terlibat.
Mohd. Na’im berkata, jemaah Malaysia boleh menjadi contoh kepada jemaah negara lain dalam perkara yang membabitkan aspek kebersihan.










