KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperolehi keputusan 10A dan ke atas bakal mendapat tempat di matrikulasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lau bagi memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum untuk mendapat tempat pendidikan.
Katanya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan memperincikan keputusan itu pada esok.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan, kerajaan akan menjamin hak pendidikan untuk Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Apabila anak-anak lulus SPM (memperoleh keputusan cemerlang) yang kemudiannya berdepan keterbatasan ruang pendidikan (dapat tempat pengajian tinggi) maka timbul masalah.
“Jemaah Menteri dengar keluhan rakyat dan melihat dan mengkaji cadangan.
“Jadi kerajaan memutuskan semua lepasan SPM yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan India serta lain-lain harus diberikan jaminan tempat oleh kerajaan,” katanya dalam Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini. – UTUSAN










