KOTA BHARU: Kira-kira 800 peserta dari sembilan negara akan berhimpun selama tiga hari bermula Jumaat ini bagi menyertai Konvensyen Masjid Nusantara 2024 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang berlangsung di Hotel The Grand Renai di sini.
Timbalan Yang Dipertuanya, Dr. Hasnan Ramli berkata, konvensyen yang julung kali diadakan itu menghimpunkan penyertaan sembilan buah negara iaitu Indonesia, Brunei , Singapura dan empat wilayah Selatan Thailand.
Menurutnya, program itu melibatkan perwakilan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri dari seluruh negara.
“Konvensyen Masjid Nusantara 2024 akan menjadi medium mengumpulkan para penggerak masjid di seluruh negara untuk berkongsi pengalaman dalam menguruskan masjid cemerlang di tempat dan lokaliti masing-masing.
“Penganjuran konvensyen itu juga akan membuka dimensi perbincangan dan perkongsian pintar dalam menguruskan masjid dengan lebih teratur berdasarkan keperluan dan kekangan yang ada,” katanya pada sidang akhbar di Maik, Kompleks Balai Islam Lundang, di sini hari ini.
Hasnan memberitahu, pihaknya menyasarkan lebih 800 peserta yang dijangka hadir sempena Konvensyen Masjid Nusantara 2024.
Katanya, selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan dijemput menyertai konvensyen itu.
“Kita juga menerima penyertaan dari negara luar nusantara iaitu Australia, Jepun, Kemboja dan China.
“Penganjuran Konvensyen Masjid Nusantara 2024 bermula selepas Maik melaksanakan Program Penarafan Masjid pada tahun lalu kepada 611 masjid di seluruh Kelantan,” ujarnya.
Hasnan berkata, semua pegawai masjid di negeri Kelantan yang terdiri dalam kalangan imam akan menjadi peserta wajib dalam konvensyen itu.-UTUSAN










