JOHOR BAHRU: Sektor pembinaan antara yang menyumbang kepada ketirisan dan penyalahgunaan dua bilion liter diesel subsidi bernilai RM3 bilion hingga RM3.5 bilion setahun.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, hal itu berlaku kerana beberapa sektor termasuk pembinaan sebenarnya tidak layak untuk menerima pemberian subsidi diesel.
Sektor berkenaan seharusnya bertemu dengan pengeluar diesel bagi mendapatkan harga berpatutan.
“Peringatan kepada sektor tertentu seperti pembinaan, mereka sebelum ini memang tidak layak dapat subsidi diesel, tetapi sekiranya ada mana-mana syarikat seperti itu yang membuat kenyataan terpaksa naikkan harga barang atas sebab ini, itu adalah satu kesalahan.
“Saya difahamkan beberapa syarikat terlibat sudah dipanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk berikan penjelasan. Pihak KPDN akan tingkatkan penguatkuasaan berhubung perkara ini.
“Penyalahgunaan subsidi diesel ini dengan tujuan mengaut keuntungan adalah tindakan tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang, ia satu perbuatan jenayah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Bersama Komuniti Madani Parlimen Pulai, di Taman Desa Rahmat, di sini semalam.
Tambah Fahmi, pelaksanaan pelarasan semula subsidi diesel yang bermula 10 Jun lalu itu secara tidak langsung dapat mengekang ketirisan dan penyelewengan subsidi diesel sekaligus memberi lebih manfaat kepada pembangunan infrastruktur awam.
“Nilai subsidi diesel yang diselewengkan tahun lalu iaitu antara RM3 bilion hingga RM3.5 bilion adalah jumlah yang terlalu besar. Wang itu boleh dimanfaatkan untuk pelbagai projek komuniti seperti pembinaan hospital, tambah baik prasarana air dan lain-lain.
“Melalui usaha ini, kita dapat sekat penyelewengan dan ketirisan subsidi diesel tanpa menafikan hak golongan yang layak, termasuk pemilik kenderaan diesel dengan pendapatan bawah RM100,000 setahun, golongan petani, nelayan, pengusaha bas, teksi dan lain-lain kategori,” jelasnya.
Bermula 10 Jun lalu, harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 per liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.
Ekoran itu, beberapa sektor termasuk pembinaan mendakwa mereka terpaksa menaikkan kos ekoran perlu menampung kenaikan harga diesel yang digunakan jentera-jentera pembinaan.









