Sabah peruntuk RM3 juta bina masjid di Bandar Sri Indah

Sabah peruntuk RM3 juta bina masjid di Bandar Sri Indah

HAJIJI Noor (tengah) semasa menyempurnakan simbolik majlis pecah tanah Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah, Tawau hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta sebagai permulaan untuk membina Masjid Ar-Rahman di Bandar Sri Indah di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembinaan masjid baharu itu akan membantu menampung kemudahan masjid yang tidak mencukupi untuk kegunaan kira-kira 10,000 penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

Beliau berharap, masjid yang dibina itu akan menjadi masjid paling aktif dan berdaya saing sejajar dengan masjid-masjid sedia ada di daerah ini, khususnya dari segi aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan juga ekonomi.

Menurut beliau, ketika ini, terdapat  1,127 buah masjid dan 1,221 buah surau di Sabah dan jumlah itu antara yang tertinggi di seluruh negara. 

Berdasarkan rekod, di daerah ini  terdapat 133 buah masjid dengan 103 buah surau, iaitu  kedua tertinggi di negeri ini selepas Semporna yang mempunyai 246 buah masjid dan surau. 

“Bukan bererti kalau kita mempunyai bilangan masjid yang banyak untuk beribadah, ia sesuatu yang boleh merenggangkan keharmonian dan perpaduan antara kaum dan juga kepercayaan di negeri Sabah amnya dan negara kita khasnya.

“Kita mesti menjadi umat Islam yang berdisiplin, mempunyai moral yang cintakan keadilan, perpaduan dan kemajuan. Ini mesti diterapkan pada diri umat Islam, supaya imej agama Islam berada di tempat yang sewajarnya,” katanya semasa menyempurnakan majlis pecah tanah Masjid Ar-Rahman Bandar Sri Indah, di sini hari ini.

Hajiji berkata, masjid tidak lagi dilihat sebagai rumah ibadah semata-mata sebaliknya sebagai pusat kemasyarakatan, keilmuan, termasuk pelbagai aktiviti sosial yang berkaitan dengan kemajuan dan pembangunan ummah. 

Katanya, antaranya seperti dijadikan sebagai  ruang untuk program-program kelas mengaji al-Quran, kelas-kelas fardhu ain dan fardhu kifayah, malah ada juga yang menyediakan ruang untuk majlis-majlis kenduri kendara dan sebagainya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN