KOTA BHARU: Sebuah Taman Rekreasi Wetland bernilai RM12 juta yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk penduduk setempat sedang dibangunkan di Ketereh sejak Mei lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, projek dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi itu dibangunkan oleh Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam (MDK-PI) diatas tanah berkeluasan kira-kira 1.9 hektar.
“Setakat ini, kerja-kerja asas telah siap iaitu sekitar 20 peratus dan dan dijangka akan siap dibina dan dibuka kepada orang awam dalam tempoh dua tahun lagi.
“Taman rekreasi ini akan dilengkapi dengan tasik buatan, kolam mandi, menara tinjau, Pulau Ketereh, trek jogging, taman herba, taman buahan tropika, kiosk, tapak perkhemahan, lot veterinar dan sebagainya,”katanya pada Program Jelajah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) di sini hari ini.
Terdahulu, Hilmi telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM680,000 daripada Kerajaan Kelantan untuk Projek Kesejahteraan Rakyat dan sebanyak RM166,700 bagi pembelian tong sampah untuk Majlis Daerah Ketereh.
Hilmi memberitahu, pembinaan taman rekreasi ini juga adalah salah satu usaha MDK-PI mencapai sasaran untuk dinaiktaraf menjadi sebuah Majlis Perbandaran pada tahun 2028.
“Untuk dinaiktaraf menjadi sebuah Majlis Perbandaran, MDK-PI perlu mencapai jumlah pendapatan tahunan sebanyak RM20 juta dan pembinaan taman rekreasi ini adalah salah satu usaha.
“Selain itu, pembinaan taman rekreasi awam ini juga adalah untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri bagi mewujudkan sekurang-kurangnya satu taman awam bagi setiap Parlimen,”ujarnya.-UTUSAN
-habis-










