JEDDAH: Kira-kira 32 pusat hospitaliti kanak-kanak di Mekah dan Madinah ditubuhkan tahun ini, sebagai kemudahan perkhidmatan untuk golongan ibu bapa yang menunaikan haji.
Pusat itu ditubuhkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial (HRSD) dengan kerjasama Kementerian Haji dan Umrah, boleh menempatkan lebih 1,000 kanak-kanak setiap hari, berusia antara setahun hingga 10 tahun.
Ia menyediakan penjagaan dan pendidikan untuk kanak-kanak, dengan persekitaran yang selesa dan selamat di bawah pengawasan pasukan perunding khusus serta jurulatih bertauliah, kata jurucakap HRSD, Mohammed Al-Rizqi.
Kemudahan disediakan termasuklah dewan makan, ruang tidur, kawasan permainan fizikal dan ruang aktiviti kemahiran.
Al-Rizqi berkata, inisiatif ini bertujuan membantu jemaah haji melaksanakan ibadah dan memberikan keselesaan terbaik kepada mereka.
“Pusat ini menyediakan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak dengan menyediakan program kesihatan, sosial dan psikologi, aktiviti rekreasi serta perkhidmatan bermalam yang sesuai bagi peringkat umur setiap kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan itu akan disediakan untuk semua warganegara, dengan pekerjanya boleh bertutur dalam pelbagai bahasa berbeza untuk melayan anak-anak jemaah.
“Kanak-kanak juga dijaga rapi sepanjang berada di pusat itu dan persekitaran sesuai disediakan untuk penginapan bermalam, selain turut menyediakan makanan sihat buat mereka,” katanya.- ARAB NEWS









