PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook digesa menjawab isu penularan senarai 31 nama syarikat yang dikatakan layak menyertai tender terbuka bagi Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) di Selangor tetapi dinafikan hak.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, Anthony perlu memberi penjelasan bagi menjaga nama Kerajaan Perpaduan dan menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ketelusan serta tatakelola yang baik.
Kata beliau, Ng Sze Han yang merupakan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor perlu turut sama tampil memberi penjelasan bagi mengelakkan fitnah dan persepsi negatif terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Jika benar, kenapa projek rintis DRT di Selangor hanya diberikan kepada dua buah syarikat tanpa tender terbuka, termasuk salah satu syarikat dikatakan milik suami kepada Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan yang juga daripada parti DAP.
“Jika kesemua 31 syarikat yang tular ini tidak layak untuk menyertai tender terbuka bagi bidang yang dimaksudkan, bolehkah Anthony beritahu rakyat mengenai perinciannya, sebab-sebab mereka tidak layak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Sze Han memaklumkan, Asia Mobility Technologies Sdn. Bhd. adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT manakala Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Ramachandran Muniandy merupakan suami Hannah.
Asia Mobility Technologies Sdn. Bhd. merupakan antara dua syarikat yang sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk projek tersebut.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata, berdasarkan pemerhatiannya dalam laporan media berhubung isu itu, projek berkenaan diberikan oleh entiti lain yang tidak mempunyai kena mengena dengan Hannah.
Beliau juga tidak melihat sebarang kaitan pemberian kontrak DRT oleh Kerajaan Negeru Selangor melibatkan menteri daripada DAP itu.
Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut mengalu-alukan siasatan SPRM dan menyerahkan kepada pihak berkuasa itu berhubung isu pemberian kontrak Projek Rintis DRT oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan suaminya. – UTUSAN










