JAKARTA: Presiden terpilih Indonesia, Prabowo Subianto memaklumkan kerajaan bersedia untuk membawa masuk kira-kira 1,000 pelarian Palestin dari Gaza dan menghantar mereka ke sekolah-sekolah pondok di Jawa Timur untuk melanjutkan pelajaran.
Cadangan itu, yang pertama kali disuarakan bekas Gabenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa akan dikemukakan kepada Presiden, Joko Widodo untuk dipertimbangkan Prabowo selaku menteri pertahanan ketika ini, lapor agensi berita Antara.
Setakat ini, pelaksanaan teknikal mengenai cadangan itu belum dijelaskan, namun Prabowo berkata, beliau akan menyusun cadangan itu dengan Setiausaha Agung PBB dan pemimpin negara lain.
Selain Jawa Timur, Probowo berkata, beberapa tokoh masyarakat di Jawa Barat turut menyatakan kesediaan untuk menerima pelarian Gaza dan menempatkan mereka di sekolah-sekolah pondok.
Terdapat lebih 39,000 sekolah pondok di negara itu berdasarkan data Kementerian Hal Ehwal Agama, tahun lalu.
Pengerusi Sayap Wanita Nahdlatul Ulama (NU), Khofifah memaklumkan sudah berbincang dengan sekolah pondok di Jawa Timur untuk menjaga dan mendidik anak-anak dari Palestin.
NU dianggap sebagai pertubuhan Islam terbesar di dunia.
Menurut Khofifah, beberapa universiti di Jawa Timur juga bersedia memberikan bantuan biasiswa kepada pelarian berkenaan.
“Kita berkomunikasi dengan duta Palestin dan universiti ini (Universiti Islam Malang) bersedia menyediakan 50 biasiswa sarjana muda, pascasiswazah dan kedoktoran untuk pelajar Palestin,” katanya semalam.
Pemberian biasiswa untuk rakyat Palestin adalah salah satu cara masyarakat antarabangsa membantu mereka di wilayah perang itu.
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata, pemindahan rakyat Palestin akan menjadi urusan yang panjang dan mungkin hanya dapat direalisasikan ketika pentadbiran Prabowo.
“Persoalan pertama ialah bagaimana mereka boleh keluar dari Gaza. Jadi mungkin pelaksanaannya akan berlaku sewaktu pentadbiran presiden yang dipilih,” katanya.










