NIBONG TEBAL: Bekas pemimpin DAP, Dr. P. Ramasamy percaya percaya, pengundi India akan menjadi penentu atau ‘king maker’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap nanti.
Menurut Ramasamy, sama seperti PRK Kuala Kubu Bharu (KKB) di Selangor, akan ada kejutan daripada pengundi pada PRK berkenaan.
Katanya, kejutan tersebut mungkin bukan datang daripada pengundi Cina kerana kekurangan pilihan yang ada ketika ini mungkin memaksa mereka menyokong calon PH (Pakatan Harapan).
“Jadi, sama seperti PRK KKB, saya percaya bahawa pengundi India akan muncul sebagai ‘king maker’ sekali lagi.
“Jika diteliti apa yang berlaku ketika PRN (Pilihan Raya Negeri) 2023, ada satu perubahan ketara yang berlaku dalam kalangan pengundi India yang sebelum ini merupakan pengundi DAP atau PKR.
“Penyingkiran pemimpin-pemimpin India daripada DAP antara penyebab berlakunya perubahan ini dan di negeri-negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor, sokongan pengundi India kepada PH juga menurun sehingga 40 peratus apabila perubahan ini berlaku,” katanya dalam kenyataan semalam.
Berdasarkan daftar pemilih terkini sehingga Februari 2024, pengundi di PRK Sungai Bakap terdiri daripada Melayu sebanyak 59.28 peratus atau seramai 23,230 orang, manakala Cina (22.65 peratus/8,875 orang), India (17.35 peratus/6,798), Bumi Sabah (0.17 peratus/65), Bumi Sarawak (0.06 peratus/23) dan lain-lain (0.50 peratus/196).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat Khamis ini bagi menentukan hari penamaan calon dan pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff daripada Pas.
Pada PRN Pulau Pinang yang lalu, Nor Zamri yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) berjaya menewaskan Nurhidayah (PH) dengan majoriti 1,563 undi. – UTUSAN










