PPNP nafi dakwaan dua ahlinya ditahan ceroboh tanah kerajaan negeri - Utusan Malaysia

PPNP nafi dakwaan dua ahlinya ditahan ceroboh tanah kerajaan negeri

ZUHAIRI AB. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa dua ahlinya ditahan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang kerana meneroka dan menceroboh tanah kerajaan negeri.

Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, maklumat yang memetik kenyataan Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang itu tidak benar dan mengelirukan masyarakat.

Jelasnya, kenyataan disiarkan portal berita itu juga tidak disahkan dan dipastikan sumbernya serta dibuat berdasarkan andaian sebelah pihak sahaja.

“Saya mengesahkan wujud dokumen urusan antara PPNP dengan kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan berkaitan permohonan pengeluaran hasil tanaman kelapa sawit di atas tanah kerajaan yang diceroboh.

“Penanaman kelapa sawit tersebut dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak sekian lama dan ia gagal ditangani, namun telah dikenalpasti identiti dalangya oleh PPNP.

“Maklumat ini telah kami salurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut dan PPNP akan bekerjasama dengan memberikan maklumat untuk memerangi isu pencerobohan tanah yang mengakibatkan ketirisan hasil negara yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan rakyat dan pembangunan negeri ini,” katanya di sini.

Zuhairi menjelaskan, semasa petugas yang dilantik PPNP terdiri daripada jurukur tanah dan konsultan masuk ke kawasan untuk meninjau, mengenalpasti dan menanda pokok-pokok sawit yang ditanam haram bagi penyediaan kertas kerja, mereka didatangi pihak UPNP yang menyatakan menerima laporan menceroboh tanah kerajaan.

“Pihak PPNP diberikan notis mengosongkan kawasan tersebut dan mengalihkan struktur binaan pagar berkunci dan pondok pekerja di atas kawasan dalam tempoh 14 hari yang akan berakhir pada 21 Jun ini.

“Sebaliknya, apa yang berlaku hari ini semasa petugas PPNP berada dalam kawasan untuk menyelesaikan kerja dan menurut arahan notis diberikan 14 hari itu yang masih berkuatkuasa dan belum tamat tempoh untuk mengosongkan kawasan, pegawai UPNP yang membuat pemeriksaan telah meminta pekerja dilantik PPNP mengikut ke pejabat UPNP, saya mengesahkan mereka tidak ditahan, hanya diambil keterangan.

“UPNP juga mengambil sebuah jentera yang disewa PPNP berhampiran kawasan untuk mengalihkan pagar berkunci dan struktur binaan pondok pekerja kami sebagai bukti. Ini tindakan yang dianggap salah kerana PPNP mempunyai notis sehingga 21 Jun ini yang masih sah. Dengarlah dulu, kadang-kadang jadi pakar tiga minit kemudian terus lontar di media sosial dan faktanya salah,” katanya.

Jelasnya, wakil PPNP memberikan kerjasama dengan menunjukkan dokumen permohonan ‘tapping right’ yang dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan serta laporan polis untuk rujukan pihak berkuasa berkenaan berhubung urusan dijalankan, bukan melakukan pencerobohan seperti kenyataan yang dikeluarkan.

“Penjelasan ini dibuat demi menjaga kepentingan dan imej PPNP. Jika masih berlarutan, PPNP tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan saman dan mengheret individu yang memutarbelitkan fakta ke mahkamah,” katanya.

Beliau dalam pada itu menjelaskan, isu pencerobohan tanah kerajaan negeri banyak berlaku dan dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji sebelum ini mengeluarkan kenyataan lebih 160,000 hektar tanah kerajaan didakwa diteroka di seluruh Pahang. Apa mengejutkan data itu diperoleh berdasarkan pengetahuan dan semakannya.

“Penguatkuasaan banteras ceroboh tanah, curi hasil masih lemah, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebelum ini ada bertitah ini kerana aktiviti penguatkuasaan masih pada tahap lemah dan perlu penambahbaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN