Potensi besar kerjasama Malaysia-Singapura

Potensi besar kerjasama Malaysia-Singapura

HASRAT isu tertangguh se­perti perjanjian air dan sempadan maritim kedua-dua negara di­selesaikan secara baik sebelum mesyuarat dua hala Malaysia-Singapura hujung tahun ini. - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UTRAJAYA: Malaysia dan Singapura membina potensi kerjasama lebih besar khususnya dalam meningkatkan ekonomi, perdagangan dan pelaburan demi manfaat kedua-dua negara.

Perkara itu dicapai menerusi pertemuan empat mata antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lawrence Wong ketika kunjungan kali pertama Perdana Menteri Singapura itu ke negara ini selepas dilantik ke jawatan berkenaan.

Dalam pertemuan kira-kira dua jam itu, Anwar berkata, mereka berbincang isu berkepentingan bersama termasuk isu tertunggak membabitkan persempadanan mari­tim, ruang udara dan wilayah maklumat penerbangan (FIR) bersama Singapura yang di­uruskan secara penyelesaian menang-menang.

Katanya, melalui hubungan yang sangat kukuh, kedua-dua negara melihat potensi kerjasama lebih besar dalam me­ningkatkan perdagangan dan pelaburan ke Malaysia khususnya melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (ZKK).

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan ber­kata, hasrat isu tertangguh se­perti perjanjian air dan sempadan maritim kedua-dua negara di­selesaikan secara baik sebelum mesyuarat dua hala Malaysia-Singapura hujung tahun ini.

Walaupun dilihat agak sukar untuk dimuktamadkan, namun ia akan memberi banyak manfaat kepada negara sekiranya dapat diselesaikan segera.

“Saya bagi jaminan kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong bahawa saya akan pastikan pegawai kita be­kerja lebih pantas sekiranya boleh dan jika tidak, mereka perlu kemukakan kepada perhatian saya.

“Ia akan menjadi hebat jika kita dapat selesaikan sebelum mesyuarat dua hala menje­lang akhir tahun ini. Kalau kita boleh selesaikan esok, minggu depan kami akan menjemput Wong untuk datang (Malaysia),” katanya dalam sidang akhbar bersama di Kompleks Seri Perdana di sini, semalam.

Wong tiba di Malaysia lawatan sulung beliau selepas dilantik sebagai Perdana Menteri republik itu pada 15 Mei lalu.

Dalam pada itu, Anwar turut menyuarakan permintaan kepada Singapura untuk menghantar tenaga pengajar khususnya bagi pembelajaran bahasa Inggeris dalam membantu golongan pelajar di Malaysia.

Beliau berkata, perkara itu merupakan permohonan ‘kecil’ tetapi bersifat penting di sebalik pelbagai isu besar yang dibincangkan bersama ketika kunjungan Wong ke Malaysia.

Sementara itu, Wong berkata, Malaysia dan Singapura berpotensi besar dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi khususnya melalui JS-SEZ di Johor yang dimeterai antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, inisiatif ber­kenaan boleh berjaya untuk kerjasama perdagangan dan pelaburan termasuk pembinaan sistem perhubungan transit pantas (RTS) yang boleh me­ningkatkan perhubungan antara kedua-dua negara.

“Projek itu mampu untuk melengkapkan segala yang ada antara Malaysia dan Singapura kerana ada yang beranggapan kedua-dua negara ini bersaing dari segi ekonomi.

“Hakikatnya, kami melengkapkan antara satu sama lain dan pesaing kami adalah negara di luar sana. Singapura, Malaysia bersaing dengan negara luar dari wilayah ini,” katanya.

Jelas Wong, sekiranya kedua-dua negara terus berge­rak dengan polisi dan peranca­ngan jelas, JS-SEZ akan membuka pelbagai peluang ekonomi buat kedua-dua negara.

Jelasnya, ia sekali gus membawa manfaat kepada penduduk Malaysia dan Si­ngapura sebaik sahaja inisiatif ber­kenaan mula menampakkan hasilnya.

“Jadi itulah semangat yang kami ada dalam menangani isu-isu ini dan kami berharap sekurang-kurangnya walaupun tidak dapat diselesaikan sepenuhnya tetapi dapat melihat kemajuan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN