KUALA PILAH: Setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, permintaan terhadap parang dan pisau turut sama meningkat.
Pada waktu inilah, ia memberikan lebih pendapatan kepada penghasilnya sehingga tidak menang tangan menerima tempahan untuk umat Islam menjalankan ibadah korban.
Itu juga yang dialami oleh pembuat parang tradisional, Anizam Mohd. Deris, 54, dari Rumah Rakyat Ampang Tinggi di sini sejak 24 tahun lalu.
Dia memberitahu, tempahan untuk parang korban yang diterimanya bertambah sejak bulan Ramadan lalu.
“Setiap tahun beginilah keadaannya, saya sudah terima tempahan sejak bulan puasa lagi sehinggalah ke hari ini, malah sehingga saat akhir pun masih ada yang mencari serta membeli parang dan pisau daripada saya, alhamdulillah.
“Memang tidak menang tangan, mahu ke mana-mana juga tidak boleh kerana perlu menyiapkan tempahan diterima. Selain membeli parang dan pisau untuk korban ini, ada yang datang ke bengkel untuk meminta pertolongan mengasah dan menajamkan peralatan mereka itu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di bengkel pertukangannya baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun menjadikan pembuatan sarung dan hulu parang sebagai kebolehan utama, namun permintaan bagi menempa pelbagai besi untuk dijadikan mata parang dan pisau juga sering diterima.
Katanya, seperti menghasilkan sarung dan hulu, pembuatan mata parang dan pisau juga memerlukan ketelitian, kemahiran tersendiri selain dibantu pengalaman dan peralatan yang digunakan.
“Apa yang penting bagi setiap pembuatan mata pisau dan parang ia mestilah tajam dan sesuai untuk sesuatu tujuannya itu. Seperti untuk ibadat korban, parang untuk sembelihan ternakan korban mestilah berlainan dan tidak digunakan untuk tujuan lain contohnya menetak tulang.
“Parang dan pisau untuk melapah juga perlu lain, untuk melapah ini lebih elok pisau yang kecil-kecil sahaja,” kata bapa kepada dua orang anak lelaki ini.
Anizam yang lebih dikenali dengan nama Abong itu menambah, beberapa jenis besi digunakannya untuk dijadikan sebagai mata pisau dan parang.
“Biasanya saya menggunakan besi yang mengandungi karbon tinggi seperti besi spring (besi penyerap hentakan kenderaan), besi ini lemak tidak melekat di atasnya dan tidak perlu diasah selalu.
“Selain itu saya juga menggunakan besi pemotong dan mata gergaji. Saya banyak menggunakan grinder (pencanai) bagi membentuk mata parang dan pisau ini selain penggunaan kertas pasir berkualiti,” katanya yang mampu menyiapkan 10 mata pisau dan parang sehari bergantung kepada saiz.
Menurutnya, kualiti mata pisau dan parang yang dihasilkan sudah tentu bergantung kepada ketelitian semasa penghasilannya termasuk sewaktu memanas dan melembutkan besi, menyepuh serta mencanai.
Katanya lagi, di luar musim perayaan pula, permintaan juga ada dan sentiasa menyiapkan satu set parang dan pisau bersama sarung yang sedia dijual pada setiap masa.
“Permintaan untuk parang ini sentiasa ada, orang banyak menggunakannya untuk pelbagai urusan harian yang lain, malahan ada individu yang beli hanya untuk dijadikan sebagai koleksi,” katanya.
Anizam berkata, setiap parang dijual pada harga antara RM150 hingga RM250 bergantung kepada kualiti kayu sarung dan hulu parang, dan kualiti besi untuk membuat bilah.

Batu Geduk, batu asah tahan lama
Sementara itu, Anizam memberitahu, dia juga mempunyai sebiji batu asah seberat dua kilogram dikenali sebagai Batu Geduk yang sememangnya dikenali oleh para tukang parang kerana dikatakan mampu menajamkan parang dan pisau untuk tempoh lebih lama.
“Saya akui batu asah ini berbeza berbanding batu asah lain. Ketika mengasah di atasnya ia rasa lebih ‘melekit’ dan hasilnya mata parang jadi lebih tajam. Batu yang ada pada saya ini ketahanannya sama sahaja seperti mula-mula memilikinya puluhan tahun lalu walaupun ia kerap digunakan.
“Ia memang popular, malah menjadi sebutan sejak arwah datuk saya yang juga tukang parang. Mungkin kelebihan batu asah ini menjadikan ia sentiasa dicari-cari sehingga kini,” katanya.
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai Batu Geduk ini, Mingguan Malaysia bertemu dengan beberapa penduduk di Kampung Geduk, Gemencheh, Tampin iaitu tempat asal batu asah berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Geduk, Pahim Mahmud berkata, Batu Geduk terkenal sekitar tahun 1960-an terutama dalam kalangan penduduk di Negeri Sembilan.
Katanya, batu berkenaan hanya boleh diperoleh di bukit mahupun kuari yang terdapat di sekitar kampung tersebut sehinggalah ke kampung bersebelahan iaitu di Kampung Tenai.
“Orang tua-tua kata kalau mahu pilih batu asah, kena pilih batu yang sudah berusia dan sekiranya pisau atau parang diasah, ia juga tidak mengeluarkan sisa berwarna putih, sebaliknya berwarna kelabu. Sebelum asah perlu dibasahkan dengan air dulu.
“Ada yang dapat batu besar, ada yang dapat batu kecil. Ada yang masih kekalkan keadaan batu masa jumpa dan tidak kurang juga ada yang sudah dicanai mengikut saiz tertentu dan disimen di kediaman masing-masing,” katanya.

Zainal Abidin Mohd. Yasin, 62, juga memberitahu mempunyai Batu Geduk yang terhasil ekoran letupan kuari di sekitar kampung itu seawal zaman British.
Katanya, serpihan batu hasil letupan kuari itu telah memberikan keistimewaan buat penduduk kerana ia mampu menajamkan parang dan pisau untuk tempoh lebih lama.
“Saya merupakan generasi ketiga keluarga yang menyimpan batu asah berkenaan dan pasti akan mewariskan kepada generasi akan datang.
“Keunikan batu asah ini ialah ketajaman pisau atau parang itu agak lama bertahan berbanding diasah menggunakan batu asah biasa. Kalau mahu sembelih lembu, dalam empat ke lima ekor masih boleh lagi tanpa perlu diasah kembali.
“Orang dulu-dulu juga menggunakan Batu Geduk untuk mengasah pisau menoreh. Setakat lima ke enam ekar tu, pisau getah yang diasah menggunakan Batu Geduk masih boleh digunakan kerana masih tajam,” katanya lagi. – MINGGUAN









