LILONGWE: Sebuah pesawat tentera yang membawa Naib Presiden Malawi, Saulos Chilima dan sembilan yang lain dilaporkan hilang pada pagi Isnin.
Pesawat Angkatan Pertahanan Malawi ‘hilang daripada radar’ selepas meninggalkan ibu negara, Lilongwe, menurut kenyataan dari pejabat Presiden.
Presiden, Lazarus Chakrewa berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang diteruskan.
“Tentera masih berada di darat untuk melakukan pencarian dan saya mengarahkan supaya operasi diteruskan sehingga pesawat ditemukan,” katanya.
Pesawat yang membawa Chilima hilang ketika dalam perjalanan untuk mewakili kerajaan pada acara pengebumian bekas menteri Kabinet, Ralph Kasambara, yang meninggal dunia tiga hari lalu.
Susulan perkembangan itu, Chakrewa membatalkan penerbangannya ke Bahamas, yang dijadualkan pada petang semalam.
Jeneral tentera, Valentino Phiri memberitahu Presiden punca kehilangan pesawat belum diketahui, namun usaha mengesannya dipertingkatkan secara intensif.
Lapangan terbang yang sepatutnya pesawat mendarat terletak di bahagian utara Mzuzu, adalah paling dekat dengan tempat pengebumian dijalankan, kata Menteri Penerangan Malawi, Moses Kunkuyu.
Pada 2022, Chilima pernah ditangkap dan dituduh atas dakwaan menerima wang sogokan sebagai pertukaran pemberian kontrak kerajaan.
Bagaimanapun, mahkamah bulan lalu menggugurkan pertuduhan tanpa memberikan alasan terhadap keputusan itu.- BBC










