PETALING JAYA: Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, peruntukan kepada ahli Parlimen di setiap kawasan adalah berbeza dengan peruntukan Pusat untuk melaksanakan projek-projek tertentu di kawasan tersebut.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, wakil rakyat Muar itu berkata, kerajaan diingat jangan menyamakan peruntukan Persekutuan untuk melaksanakan projek tertentu dengan peruntukan kepada ahli Parlimen yang mahu membantu rakyat yang datang ke pusat khidmat ahli Parlimen untuk meminta bantuan.
Menurut beliau, jawapan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tidak menjawab isu peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang yang ditunggu oleh blok pembangkang.
“Fadillah tidak menjawab persoalan mengenai kawasan Parlimen pembangkang yang tidak mendapat peruntukan walhal ahli parlimen kerajaan diberikan RM4 juta.
“Terdapat perbezaan peruntukan kerajaan untuk melaksanakan sesuatu projek dengan peruntukan kepada ahli Parlimen dan ini tidak boleh dicampur adukkan.
BANTUAN
“Peruntukan Parlimen adalah untuk rakyat yang tinggal di kawasan tersebut seperti bantuan beli lampin bayi, kerusi roda, baik pulih rumah dan bina jambatan kecil,” kata beliau yang mengingatkan kerajaan tidak `bermain politik’ dengan peruntukan kepada pembangkang.
Menurut beliau, semua ahli Parlimen kerajaan dan kerajaan memerlukan peruntukan kerana penduduk contoh di Muar akan mencari `Syed Saddiq’ untuk mendapat bantuan segera.
“Jadi, itu adalah perbezaan yang sangat ketara dan saya mahu rakyat semua faham peruntukan kementerian dan peruntukan khas kepada Parlimen untuk melaksanakan satu-satu projek adalah berbeza,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM2.7 juta untuk pelaksanaan 60 projek dan program di kawasan Parlimen Muar sepanjang tahun ini.
Fadillah berkata, RM30.39 juta peruntukan lagi juga diluluskan bagi kawasan sama di bawah Projek Pembangunan Kerajaan Persekutuan ‘Rolling Plan’ (RP4) 2024 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Oleh itu, kata Fadillah, dakwaan Syed Saddiq bahawa kawasannya tidak menerima dana disebabkan ‘politik balas dendam untuk menekan pengundi’ tidak tepat.
Mengenai pelaksanaan projek tersebut, Syed Saddiq berkata, selepas diteliti 92.6 peratus daripadanya adalah untuk projek pembangunan di Pagoh, Ledang dan Bakri.
Sehubungan itu, hanya empat daripada 28 projek itu dilaksanakan dalam kawasan Muar dan satu daripadanya adalah projek pembinaan Youth Hub Muar yang diluluskan pada 2019.
Sementara itu, di Kota Bharu Ketua Whip pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya Fadillah Khamis ini bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung peruntukan kepada ahli Parlimen mereka yang secara dasarnya dipersetujui Kerajaan Perpaduan.
“Beliau (Fadillah) beri tarikh 13 Jun untuk bertemu. Pada pertemuan itu nanti saya turut akan mewakili Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Sebelum ini mereka (Kerajaan Perpaduan) bincang (peruntukan ahli Parlimen pembangkang) dalam kalangan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Jadi kali ini, kita nak tahu apakah syarat-syaratnya dan selepas itu barulah kami boleh buat keputusan sama ada akur atau tidak dengan syarat tersebut,” kata beliau selepas ditemui di Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu kali ke-57 di Dewan Perniagaan Cina, di sini semalam. – UTUSAN










