Permintaan lembu, kambing korban merosot 35 peratus

Permintaan lembu, kambing korban merosot 35 peratus

AHMAD Zaidi Abdul Basher meninjau keadaan kambing-kambing ternakannya yang jualan merosot bersempena Aidiladha tahun ini di Kampung Semadong, Padang Besar, Perlis semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Faktor ekonomi tidak menentu selain lambakan lembu dari negara jiran didakwa menjadi punca jualan lembu dan kambing sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini merosot 30 hingga 35 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Situasi tersebut sekali gus menimbulkan keresahan da­lam kalangan penternak memandangkan sambutan Hari Raya Aidiladha menjelang tiba seminggu lagi.

Mereka berharap pada saat-saat akhir ini, lembu dan kambing dapat dijual untuk ibadah korban.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad Zaidi Abdul Basher, 31, dari Kampung Semadong berkata, hasil jualannya tahun ini sedikit menurun malah permintaan juga masih perlahan dan tidak begitu memberangsangkan.

Katanya, tahun lepas dia mampu menjual lebih 120 ekor kambing untuk korban, namun tahun ini tidak sampai 80 ekor.

“Saya masih mengharapkan orang ramai membuat pembelian kambing bagi ibadah korban pada saat-saat akhir,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim Mahmood, 70, berkata, hasil jualan lembunya pada tahun ini dianggarkan menurun sekitar 30 hingga 35 peratus.

Katanya, pada tahun lalu, dia mampu menjual lebih 100 ekor lembu korban, namun jumlah itu dilihat menurun kira-kira separuh pada kali ini.

“Pada masa ini, lembu-lembu korban dijual bermula RM4,500 hingga RM6,000 se­ekor, namun permintaannya sangat perlahan berbanding tahun sebelum ini.

“Sepanjang lebih 50 tahun berkecimpung dalam bidang penternakan, inilah kali pertama jualan lembu korban begitu perlahan,” katanya.

Seorang lagi penternak lembu, Shaiful Muhammad Zuhairi Halim, 26, berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong permintaan pada tahun ini perlahan.

Antaranya berpunca daripada keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

Menurutnya, lambakan lembu dari negara jiran juga sedikit sebanyak mempengaruhi jualan penternak tempatan.

“Jika dilihat jumlah permintaan daripada individu, agensi korporat mahupun masjid-masjid sememangnya berkurangan untuk ibadah korban pada tahun ini berbanding kebiasaan.

“Keadaan ini mungkin di­pengaruhi beberapa faktor se­perti ekonomi dan kita mengharapkan orang ramai akan membuat pembelian pada saat akhir nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini