Pembekal utama dadah Pahang tumpas - Utusan Malaysia

Pembekal utama dadah Pahang tumpas

NOOR HISAM Nordin (tengah) menunjukkan ganja mampat yang dirampas dalam operasi di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah jenis ganja sekitar daerah ini dengan penangkapan seorang lelaki dipercayai pembekal utama bagi negeri ini.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tertangkapnya lelaki tersebut pada 15 Jun lalu, polis turut merampas 54 ketulan mampat dedaun kering kehijauan disyaki dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 56 kilogram.

Katanya, berdasarkan hasil maklumat dan risikan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang melakukan serbuan di tepi jalan di Lorong Seri Mahkota Permai di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada 15 Jun lalu sekitar pukul 1.30 petang, satu serbuan dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat yang diperolehi telah berjaya menahan lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai terlibat aktiviti pengedaran dadah di sekitar Kuantan.

“Hasil serbuan dijalankan, polis berjaya merampas 54 ketulan mampat dedaun kering kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 56,223.6 gram, dianggarkan bernilai RM173,600. Turut dirampas kereta Perodua Myvi dinaiki suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Tambah Noor Hisam, hasil siasatan, suspek merupakan pembekal utama yang mendapatkan sumber dadah dari negara jiran untuk dipasarkan kepada sekitar 56,223 penagih sekitar negeri ini.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Suspek juga mempunyai 13 rekod jenayah lampau bagi kesalahan dadah dan pernah ditangkap di negeri lain dan pertama kali di Pahang,” katanya.

Tambahnya lagi, kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan sebatan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Jun ini bagi membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini