Pas belum buat keputusan sertai Kerajaan Perpaduan

Pas belum buat keputusan sertai Kerajaan Perpaduan

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Belum ada sebarang keputusan daripada Pas untuk menyertai gabungan Kerajaan Perpaduan selain parti itu menyifatkan perkara tersebut hanya  khabar angin.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas sentiasa terbuka menerima PKR dan UMNO jika kedua-kedua parti itu bersedia dengan semangat perpaduan ummah demi kepentingan umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, pada masa ini, suara-suara kononnya Pas akan menyertai Kerajaan Perpaduan adalah tidak benar sama sekali.

Namun katanya, kerjasama kerajaan Pusat dan negeri-negeri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa dalam keadaan baik demi kepentingan rakyat.

“Tidak ada keputusan kerjasama Pas dengan Kerajaan Perpaduan, bagaimanapun Pas terus berpegang kepada prinsip penyatuan ummah dan jika PKR ke arah itu, kita tidak ada masalah dan begitu juga dengan UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kelmarin Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak mengesahkan mahupun menafikan khabar angin bahawa Pas akan menyertai gabungan kerajaan Persekutuan.

Menjawab soalan pemberita berkenaan khabar angin tersebut, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan dilaporkan berkata, ada banyak perbincangan antara kerajaan dan pembangkang terutama membabitkan kerajaan negeri.

Bagaimanapun Fahmi tidak menjelaskan secara khusus jika kerajaan dan Pas ada membincangkan tentang perkara itu.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, dalam sesetengah perkara khususnya berkaitan soal rakyat, tidak ada masalah untuk bekerjasama antara Pusat dan negeri di bawah PN.

Sementara itu, Hashim berkata, Pas yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.
Katanya, Pas sudah mengerahkan kekuatan jentera bagi memastikan kemenangan di kawasan berkenaan.

“Insya-Allah, kita mampu kekalkan kemenangan di kerusi berkenaan meskipun pada masa ini, Pakatan Harapan (PH) bermain soal kelayakan akademik calon PN itu. Itu tidak akan memberi kesan kepada Pas kerana rakyat tahu untuk menilai mana yang terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN