Pahang tawar insentif Pengecualian Denda Lewat - Utusan Malaysia

Pahang tawar insentif Pengecualian Denda Lewat

WAN ROSDY Wan Ismail (lima, kanan) hadir pada Majlis Perasmian Karnival Tanah Peringkat Negeri Pahang tahun 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Lipis di Lipis, Pahang. - FOTO/NORFARHIZA MOHD ATAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Kerajaan negeri menawarkan insentif Pengecualian Denda Lewat kepada semua pemilik tanah yang berkelayakan kecuali bagi pemilik tanah yang sudah pun dikeluarkan Notis 6A sebelum 1 Julai depan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif tersebut bermula hari ini sehingga 30 November ini.

“Saya menyeru agar lebih ramai lagi pemilik tanah menggunakan peluang ini untuk merebut insentif diberikan kerajaan negeri.

“Ini supaya orang ramai segera melunaskan bayaran cukai tanah atau tunggakan cukai tanah tanpa dikenakan denda lewat bagi mengelakkan sebarang implikasi kepada pemilikan tanah nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Tanah Peringkat Negeri Pahang tahun 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Lipis di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, karnival berkenaan merupakan tahun kedua penganjuran dan mendapat impak positif daripada perolehan hasil kerajaan negeri.

“Ini juga salah sebab kita berjaya mendapat kutipan hasil tanah semaksimum mungkin dan melonjakkan hasil pendapatan kerajaan negeri melebihi RM1 bilion,”ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, jumlah terkini hak milik tanah di negeri ini adalah 757,334.

Menurutnya, kerajaan negeri mensasarkan bagi tempoh tiga hingga empat tahun, jumlah itu ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya satu juta hak milik.

“Kita yakin dalam tempoh tiga hingga empat tahun boleh capai satu juta pemilikan tanah, cuma ia bukan satu perkara yang mudah kerana tanah perlu diukur, ada ukur kasar, ada ukur halus, ada jawatankuasa.

“Kita tidak mahu berlaku kesilapan semasa memberi tanah kepada pemohon. Jadi ia harus diteliti dan semestinya mengambil masa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN