Ops Kesan 2.0 pantau peniaga naikkan harga barang

Ops Kesan 2.0 pantau peniaga naikkan harga barang

Fuziah Salleh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mela­lui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan susulan penstrukturan semula subsidi diesel bermula semalam.

Timbalan Menteri Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, pemantauan dan pe­nguatkuasaan itu akan dilakukan menerusi Ops Kesan 2.0 Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel yang dilancarkan baru-baru ini.

Menurut beliau, operasi itu diyakini dapat mengelakkan kenaikan diesel sebagai alasan mendorong peningkatan harga barangan.

“Semasa (kenaikan) Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kita buat Ops Kesan dan kita berjaya pastikan peniaga tidak ambil kesempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, Pas dilapor bim­bang kemungkinan kesan negatifnya ke atas kehidupan rakyat walaupun mengalu-alukan matlamat baik yang digariskan kerajaan berhubung langkah penyasaran subsidi diesel.

Selain itu, Pas turut bimbang berhubung kemampuan kerajaan sendiri untuk memastikan matlamat utama yang digariskan dicapai dalam tempoh yang munasabah.
Media sebelum ini melaporkan, Ops Kesan 2.0 memastikan elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan alasan pelarasan harga runcit diesel tidak berlaku.

Bahagian Penguat Kuasa KPDN akan menggerakkan lima pendekatan iaitu proses pe­ngumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang bermula pada 2 Mei lalu.

Orang ramai boleh membuat aduan kepada Pusat Arahan Penguatkuasaan bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam. Prosedur Operasi Standard­ (SOP) pengurusan aduan ber­kaitan dengan caj, harga dan bekalan akan dijalankan dalam tempoh 24 jam dan jika ada kenaikan, pihak berkenaan termasuk peniaga dan pemilik premis serta mereka yang ter­babit akan diberikan notis dan mereka perlu menjawab dalam tempoh enam hari.

Mereka yang didapati me­ngambil kesempatan de­ngan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga Antipencatuan 2011 (Akta 723) yang boleh didenda sehingga RM500,000 bagi syarikat, manakala RM100,000 kepada individu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau ke­dua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN