ROMPIN: Salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan treler di kilometer 126, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, awal pagi tadi sempat membuat panggilan video dengan suaminya sebelum nahas berlaku.
Mangsa, Hasnatul Adilah Hassan, 48, menghubungi suaminya, Saifullizan Abu, 53 sekitar pukul 12 tengah malam sebelum bas persiaran dinaikinya terbabas kira-kira pukul 12.40 pagi tadi.
Saifullizan memberitahu, itu kali terakhir dia bercakap dengan Hasnatul Adilah sebelum dimaklumkan isterinya terlibat kemalangan.
“Kami sempat bercakap dalam panggilan video dan saya ada bertanya tentang keadaannya. Dia (Adilah) beritahu dia tidak tahu di mana kerana keadaan jalan yang gelap dan beritahu hendak tidur.
“Saya sempat berpesan kepadanya untuk jaga diri dan anak baik-baik,” katanya memberitahu dimaklumkan tentang kejadian oleh anaknya pada pukul 3 pagi tadi.
Menurut bapa kepada lima orang anak itu, kali terakhir dia berjumpa dengan Hasnatul Adilah adalah pada petang semalam sebelum mangsa bertolak bersama anak bongsunya, Muhammad Farouq, 12.
“Kami sempat bergurau bersama dan sebelum pergi seperti biasa kami akan bersalam tangan dan cium pipi,” katanya ketika ditemui di unit forensik Hospital Muadzam Shah, di sini.
Menurutnya lagi, sebelum kejadian juga, isterinya pernah berpesan untuk menjaga anak-anak sebaiknya.
“Sebelum ini kami ada bergurau dan ketika bergurau, isteri sempat mewasiatkan supaya saya menjaga anak-anak jika dia pergi terlebih dahulu. Saya memang tidak sangka dia akan pergi dahulu,” katanya.
Sementara itu, anak ketiga mangsa, Nur Mujahadah, 22, pula berkata, kali terakhir dia berjumpa ibunya adalah ketika menghantar ibunya menaiki bas.
“Saya hantar umi pergi sekolah sebab dia beritahu dia takut hendak bawa kereta. Jadi sayalah yang teman dia.
“Sebelum itu umi kata nak bawa kereta sendiri, tapi disebabkan guru besar tidak benarkan kereta diletakkan dalam kawasan sekolah, jadi umi suruh saya hantar. Umi tidak pesan apa-apa. Umi cuma pesan untuk bawa kereta elok-elok sahaja,” katanya. – UTUSAN










