Nahas bas: Lesen syarikat pelancongan digantung sementara

Nahas bas: Lesen syarikat pelancongan digantung sementara, pemandu direman empat hari

TIONG King Sing bercakap kepada pemberita selepas melawat mangsa nahas bas pelancongan di Bentong, di Hospital Kuala Lumpur, hari ini. -UTUSAN/AHMAD FITRI MOHD AS'RI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menggantung sementara lesen operasi syarikat pelancongan yang terlibat dalam insiden kemalangan bas persiaran di Bentong bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan, MOTAC juga akan jalankan siasatan lanjut terhadap syarikat pelancongan itu.

Beliau turut memberitahu yang pemandu bas pelancongan itu telah direman selama empat hari kerana tidak mempunyai lesan.

Katanya, beliau ada menerima aduan daripada pelancong yang syarikat berkenaan membuat tiga kali pertukaran bas sepanjang enam hari mereka berada di negara ini, dan keadaan bas juga dikatakan tidak baik.

“Ini bermakna syarikat pelancongan yang terlibat tidak bersedia dan tidak kompeten untuk menerima pelancong dari luar negara.

“Pihak MOTAC dah minta syarikat pelancongan terlibat memberi penjelasan tetapi tidak mahu memberi kerjasama dan sekiranya pihak syarikat tidak memberi kerjasama, pihak kami tidak teragak-agak untuk menarik balik lesen operasi syarikat itu.

“Saya membuat lawatan pesakit insiden bas tersebut dan seramai lapan pesakit yang berada di Hospital Kuala. Semua pesakit dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita di Hospital Kuala Lumpur bagi melawat mangsa nahas itu, hari ini.

Semalam, sebuah bas pelancongan yang membawa 18 penumpang warga asing, terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di KM 16.5, jalan turun Genting Highlands, Bentong menuju ibu negara.

Kejadian itu meragut dua nyawa pelancong asing manakala 16 lagi cedera.

Selain itu, Tiong juga meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap bas-bas pelancongan.

“Ini bagi memastikan keadaan bas dalam keadaan yang baik dan selamat untuk membawa pelancong dari dalam atau luar negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Tiong berkata, mesyuarat khas akan dilakukan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) Selasa ini bagi membincangkan aspek keselamatan bas pelancongan mengelak kejadian serupa berlaku lagi pada masa akan datang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN