Misi PBB banteras samseng Haiti

Misi PBB banteras samseng Haiti

KONTINJEN polis dari Kenya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Toussaint Louverture di Port-au-Prince, Haiti pada Selasa.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAIROBI: Kira-kira 1,000 anggota polis Kenya dihantar ke Haiti yang menandakan permulaan misi yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memerangi kumpulan samseng yang mencetuskan kekacauan di negara Caribbean itu.

Kontinjen itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Toussaint Louverture berhampiran Port-au-Prince, pada Selasa.

Pasukan polis Kenya adalah kontinjen pertama pasukan antarabangsa di Haiti, yang dijangka mencapai kira-kira 2,500 anggota polis dari 15 negara lain.

Ia terdiri daripada unit khusus seperti Unit Penempatan Segera (RDU) dan Unit Perkhidmatan Am (GSU) yang akan mengetuai Misi Sokongan Keselamatan Multinasional di Haiti.

Sekian lama bergelut dengan keganasan samseng dan ketidakstabilan politik, situasi di Haiti bertambah buruk dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan kes penculikan, pembunuhan, rompakan bersenjata serta jenayah ganas lain.

Lebih 80 peratus bandar itu kini berada di bawah kawalan kumpulan samseng yang berkuasa.

RAMPAS KAWALAN NEGARA

Walaupun PBB menggesa masyarakat antarabangsa menghantar pasukan keselamatan ke Haiti, sejarah panjang dan kontroversi campur tangan asing menyebabkan pengkritik mempersoalkan inisiatif itu.

Keraguan itu diburukkan lagi dengan kekurangan butiran yang konkrit mengenai matlamat dan misi terkini.

Bagaimanapun, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memuji dan menghargai penglibatan negara yang terlibat dalam misi tersebut.

“Saya menghargai dan berterima kasih kepada semua negara yang berjanji menyediakan tenaga kerja dan sokongan kewangan untuk misi ini,” katanya yang turut mengumumkn AS menyediakan dana sebanyak AS$360 juta (RM1.69 bilion).

Sementara itu, Perdana Menteri Haiti, Garry Conille turut memuji usaha berkenaan.

“Negara sedang melalui fasa yang sangat sukar. Kami akan mula bekerja sedikit demi sedikit untuk merampas semula kawalan negara,” katanya.

Conille dilantik ke jawatan itu semula, bulan lalu sebagai sebahagian daripada kerajaan peralihan di Haiti.

Negara ini belum mengadakan pilihan raya Persekutuan sejak sebelum pembunuhan Presiden Jovenal Moise pada tahun 2021.

Penasihat keselamatan Presiden Kenya, Monica Juma berkata, pasukan itu akan berfungsi sebagai ‘ejen keamanan, kestabilan dan harapan’.

NAIROBI TEGANG

Serentak pada hari pasukan pegawai polis Kenya tiba di Haiti, ketegangan pula memuncak di Nairobi apabila sekurang-kurangnya 13 maut selepas polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang menyerbu kawasan Parlimen, di ibu negara itu.

Sebahagian daripada bangunan Parlimen dibakar oleh penunjuk perasaan yang membantah cadangan kenaikan cukai.

Presiden Kenya, William Ruto berkata, semua langkah akan diambil untuk ‘menggagalkan sebarang cubaan penjenayah berbahaya yang menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara’.

Beliau mengerahkan tentera untuk mengawal protes itu.

Bantahan terhadap penggubalan RUU termasuk beberapa kenaikan cukai, berterusan selama beberapa hari.

Protes di ibu kota menyebabkan perniagaan terhenti dengan semua kedai di daerah pusat perniagaan masih ditutup.

Pengangkutan awam turut terganggu di seluruh Nairobi dengan banyak pengendali bas memberhentikan kenderaan mereka.

Ahli Parlimen pada Selasa meluluskan rang undang-undang (RUU) kewangan 2024 yang bertujuan untuk menaikkan tambahan 346.7 bilion Shilling (AS$2.67 bilion) dengan langkah seperti meningkatkan levi pembangunan kereta api daripada 1.5 peratus kepada 2.5 peratus dan yuran pengisytiharan import daripada 2.5 setiap sen kepada 3.5 peratus.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN