PETALING JAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan sokongan Kementerian Digital (KD) dan Kementerian Kewangan (MOF) memperkenalkan skim insentif cukai inovatif untuk syarikat Malaysia Digital (MD).
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, berkata, insentif cukai ini berasaskan hasil yang direka untuk mengukuhkan ekonomi dengan memacu pelaburan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).
Beliau berkata, insentif cukai inovatif menggalakkan pembentukan kluster ekonomi baharu, serta menyediakan keseimbangan antara pertumbuhan dan kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
“Skim insentif cukai MD baharu ini menawarkan pelbagai manfaat untuk syarikat digital yang memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, blockchain, dan rangkaian kesalinghubungan dan/atau teknologi telekomunikasi termaju.
“Syarikat MD yang layak boleh mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai pendapatan korporat yang kompetitif ke atas pendapatan harta intelek (IP) dan pendapatan harta bukan intelek (Non-IP), serta Elaun Cukai Pelaburan (ITA) untuk aktiviti perkhidmatan yang berintensifkan modal.
“Struktur skim yang fleksibel ini bagi membolehkan syarikat menikmati insentif cukai berdasarkan komitmen yang ditetapkan sekali gus memacu pertumbuhan dalam aktiviti bernilai tinggi, dan memberi ganjaran kepada prestasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, skim ini menawarkan insentif cukai untuk syarikat yang layak dalam dua kategori, iaitu New Investment Incentive dan Expansion Incentive.
“Syarikat dalam kategori New Investment boleh menikmati Kadar Cukai Istimewa (RTR) sebanyak 0 peratus pada pendapatan harta intelek (IP), dan 5 peratus atau 10 peratus bagi pendapatan harta bukan intelek (Non-IP) selama sepuluh tahun.
“Syarikat dalam kategori Expansion pula boleh menikmati RTR sebanyak 15 peratus selama lima tahun.
“Sebagai alternatif, syarikat di bawah kedua-dua kategori boleh memilih ITA antara 30 peratus hingga 100 peratus bagi perbelanjaan modal untuk aktiviti yang layak dan boleh ditolak sehingga 100 peratus daripada pendapatan berkanun selama lima tahun,” katanya.











